5,126 individu ingkar PKP ditangkap

Huzir
Huzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 5,126 individu yang ingkar ditahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak 18 Mac sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 2,563 kertas siasatan telah dibuka, 2,294 dituduh di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan.

“Ada sebahagian individu dihukum penjara enam bulan dan ada pula yang dikenakan denda RM1,000. Tindakan itu membuktikan kita tidak sesekali berkompromi dengan mereka yang melanggar PKP.

“Kami tidak berniat jahat kepada orang awam tetapi berusaha mengekang penularan Covid-19 yang menjadi mimpi ngeri bagi kebanyakan negara di dunia,” katanya dalam wawancara khas di Bukit Aman hari ini.

Menurutnya, anggota polis mengambil pendekatan berlembut iaitu dengan cara menasihati dan memberi peringatan pada peringkat awal PKP.

“Setelah beberapa hari PKP dilaksanakan, kita dapati masih ramai yang ingkar dan memberikan alasan tidak munasabah apabila mereka ditahan dalam sekatan jalan raya dan rondaan. Jadi tindakan lebih tegas iaitu menahan individu ingkar ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima dasar kerajaan yang telah mewartakan Perintah Pengkompaunan dalam tempoh PKP Fasa ke-2.

“Ia memang dibenarkan oleh undang-undang seperti termaktub di bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Namun kita tunggu keputusan rasmi berkaitan perintah itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah bersedia melaksanakannya namun terpulang kepada PDRM sama ada untuk membuka kertas siasatan atau mengeluarkan kompaun kepada mereka yang masih ingkar PKP,” katanya.

Huzir berkata, pihaknya juga akan menilai berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh individu berkenaan.

“Sekiranya tindakan tersebut boleh menyedarkan masyarakat maka itulah jalan yang terbaik tetapi sekiranya masih berdegil, tindakan menangkap dan menuduh mereka di mahkamah akan tetap diteruskan,” katanya.