X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Pengantin nikah guna benang

Foto daripada Jawa Pos
A
A

JOMBANG- Seorang lelaki di Indonesia dilaporkan menggunakan benang ketika akad nikah sebagai alternatif mengelakkan dia berjabat tangan dengan juru nikah susulan penularan koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda ketika ini.

Akibat penularan pandemik itu banyak aktiviti berbentuk perhimpunan orang ramai terpaksa dibatalkan atau ditunda bagi mencegah penularan wabak tersebut termasuk kenduri perkahwinan, kerana melibatkan perhimpunan awam dan berisiko tinggi menularkan penyakit itu.

Bagaimanapun, menurut laporan Jawa Pos, satu pasangan dari Indonesia iaitu M Ifan Saifudin dan Mifthaul Firdaus nekad untuk meneruskan niat mereka bagi mendirikan rumah tangga dengan mengenakan syarat antaranya pasangan dan tetamu wajib memakai topeng muka serta menggunakan pencuci tangan sepanjang majlis berlangsung.

Para tetamu juga dikehendaki duduk dengan jarak yang telah ditetapkan iaitu tidak terlalu dekat antara satu sama lain.

Lebih membuatkan majlis nikah pasangan itu bertambah unik, apabila pengantin lelaki tidak bersalam dengan jurunikah atau biasanya digelar tok kadi, sebaliknya menggantikan ia dengan benang putih sepanjang 60 sentimeter.

Masing-masing memegang hujung benang berkenaan ketika melakukan akad nikah.

Ketua Hal Ehwal Agama Wilayah tersebut, Hasanuddin berkata, banyak perkara yang tidak boleh dilakukan lantaran daripada situasi bahaya yang sedang berlaku ketika ini.

“Majlis boleh dijalankan namun mengikut prosedur yang telah ditetapkan dengan memakai topeng muka, pencuci tangan dan menjaga jarak,” katanya lagi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!