Polis beri amaran henti sebar berita palsu kes Covid-19 di Terengganu

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu berkaitan wabak koronavirus (Covid-19) berikutan masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu di negeri berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, mereka yang didapati menyebarkan berita palsu akan disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.

"Kita dapati masih ada segelintir pihak yang menularkan berita palsu berkaitan wabak Covid-19 di negeri ini. Kita memberi amaran agar menghentikan perbuatan menularkan berita yang tidak sahih.

"Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang didapati menyebarkan berita palsu," katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan individu terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Selain itu, katanya bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 pula memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

Kelmarin, tular di media sosial dan aplikasi pesanan mudah alih, WhatsApp kononnya terdapat 30 kes Covid-19 membabitkan sebuah keluarga di Kampung Durian Burung, di sini.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menafikan terdapat kes penularan wabak Covid-19 membabitkan 30 individu daripada sebuah keluarga itu.

Artikel Berkaitan: