Hilang pendapatan, pengusaha teksi perlu bantuan kerajaan

Pemandu teksi dan syarikat teksi hilang pendapatan sehingga 90 peratus pada Mac.
Pemandu teksi dan syarikat teksi hilang pendapatan sehingga 90 peratus pada Mac.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) yang mewakili lebih 100 syarikat teksi, meminta kerajaan memberi perhatian terhadap masalah dihadapi pemandu teksi dan syarikat teksi berikutan pendapatan mereka berkurangan 90 peratus pada Mac.

Presidennya Sheikh Mohd Shalahuddin Ayubi Kamal Azad SM Amin mahu pemandu teksi dikecualikan daripada membayar sewa teksi, tertakluk kepada penangguhan bayaran sewa atau diskaun (tertakluk kepada syarat) dalam kontrak setiap pemandu sebagai bantuan kewangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sehubungan itu, setiap pemandu teksi digesa berjumpa dan berbincang dengan wakil syarikat teksi masing-masing untuk menentukan pilihan yang ada untuk mereka.

“Kami juga meminta dipertimbangkan subsidi tambahan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membantu syarikat teksi dalam membantu pekerja mereka yang bukan pemandu tetapi turut memainkan peranan dalam membantu industri itu secara menyeluruh.

“Pekerja syarikat teksi selain daripada pemandu memilih untuk menerima gaji minimum buat masa ini daripada diberhentikan kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Bagi syarikat teksi, Sheikh Mohd Shalahuddin mencadangkan kadar cukai sifar atau minimum dilaksanakan untuk baki tahun ini kerana syarikat teksi akan mengambil masa lebih enam bulan untuk pulih.

Walaupun sesetengah syarikat teksi tidak termasuk dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau mencadangkan faedah yang diberikan kepada PKS turut dipanjangkan kepada semua syarikat teksi tanpa mengira modal berbayar mereka demi untuk kesejahteraan pemandu teksi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac berkata, pemandu e-hailing akan diberi bayaran sekali sahaja sebanyak RM500 seorang untuk mengurangkan beban kewangan mereka semasa PKP.

Artikel Berkaitan:

Bantuan itu adalah tambahan kepada bayaran sekali sahaja sebanyak RM600 untuk pemandu teksi, yang bermula pada April, diumumkan sebelum ini dalam pakej rangsangan ekonomi oleh pentadbiran terdahulu. - Bernama