Uncle Kentang 'tabik' Ras Adiba

Chee Heng (belakang, kanan) akui terkejut apabila dihubungi dan dikunjungi Ras Adiba (depan) yang membawa bantuan makanan untuk diagih kepada golongan memerlukan di Puchong. - Foto FB Kuan Chee Heng
Chee Heng (belakang, kanan) akui terkejut apabila dihubungi dan dikunjungi Ras Adiba (depan) yang membawa bantuan makanan untuk diagih kepada golongan memerlukan di Puchong. - Foto FB Kuan Chee Heng
A
A
A

PUCHONG - Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang mengakui terkejut selepas dihubungi personaliti tanah air, Ras Adiba Radzi yang menyatakan hasrat menghulurkan sumbangan kepada golongan tidak berkemampuan di Puchong.

Chee Heng berkata, beliau tambah terkejut melihat pengasas pertubuhan bukan kerajaan orang kurang upaya (OKU) Sentral itu memandu kenderaannya seorang diri membawa sumbangan makanan yang hendak dihulurkan ketika bertemunya.

Menurutnya, beliau tabik hormat dengan kegigihan Ras Adiba dalam membantu mereka yang memerlukan walaupun pergerakannya sendiri terhad.

“Saya terima panggilan daripada Ras Adiba, beliau tanya bolehkah sumbang makanan pada mereka yang lapar di Puchong memandangkan ramai orang susah di Puchong. Saya kata ‘on’ dengan beliau.

“Maka petang semalam saya tunggu kedatangan beliau dan tiba-tiba telefon berdering dan Ras kata dia sesat di Tesco Extra. Saya panggil beliau tunggu sat dan saya pergi ambil beliau,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini.

Status dimuat naik Chee Heng itu menerima hampir 4,000 emoji, ratusan komen dan perkongsian netizen.

Chee Heng dalam perkongsian itu memaklumkan beliau terkejut melihat Ras Adiba memandu kereta yang penuh dengan muatan makanan bersendirian.

Katanya, beliau bersimpati dengan keadaan Ras Adiba yang sanggup memandu dalam keadaan panas dengan hanya ditemani kerusi roda di bahagian tempat duduk penumpang.

Artikel Berkaitan:

“Oh tuhan... beliau bawa kereta sendiri penuh muatan, muka dah peluh dalam terik panas. Saya pula rasa kesian kat dia, sedih bila saya lihat seorang yang kurang upaya bertungkus-lumus membawa makanan dan kerusi roda di sebelah tempat duduk penumpang.

“Inilah Ras seorang yang tak pernah mengaku lemah, seorang yang cuba sedaya upaya untuk bantu golongan yang perlu walaupun pergerakan beliau terhad. Saya tidak ada ayat untuk beliau... hanya tabik kepada beliau kerana beliau sanggup pandu seorang diri tanpa pengiring,” katanya.

Chee Heng yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia berkata, sebelum pulang personaliti televisyen terkenal itu berkata akan kembali lagi bertemunya.

“Saya mati-mati ingat beliau ada pengiring... ya ada tetapi hanyalah kerusi roda yang setia menemaninya. Sebaknya hati saya, mulia dan gigihnya kamu, Ras.

“Ras... kamulah inspirasi saya, marilah kita memudahkan orang lain, jalan sukar yang kita lalui membawa kita kepada keberkatan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian pernah melaporkan Ras Adiba menerusi perkongsian video di Instagram berdurasi 3 minit 13 saat menceritakan pengalamannya ketika didatangi dua pejalan kaki yang dipercayai kelaparan.

Beliau berdoa supaya golongan kurang bernasib baik yang berlegar-legar di ibu kota untuk mencari makanan dapat bertahan.

Ras Adiba berkata, difahamkan sebelum ini mereka mendapat bantuan daripada sukarelawan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya berdoa mereka bertahan'