X

Kindly register in order to view this article
!

Pemancing tegar toman Wetland Putrajaya

Wetland adalah lubuk memancing yang wajib dikunjungi Lanang setiap minggu.
A
A

DALAM konteks pancingan rekreasi, ikan toman (channa micropeltes) adalah spesies pemangsa yang sangat kuat dan akan memberikan perlawanan cukup mendebarkan.

Saat gewang di permukaan air ‘meletup’ disambar dan larian membenam ke bawah mencari struktur untuk melepaskan diri akan membuatkan adrenalin pemancing mengalir laju.

Situasi inilah yang menjadi dambaan kepada kaki pancing bernama Lanang atau nama sebenarnya Waini Zainal, 39, yang menyasarkan toman sebagai spesies nombor satu sasaran hobi memancingnya.

Menjadikan Wetland di Putrajaya sebagai lapangan memancing toman, Lanang berkata, dia memancing di situ sekurang-kurangnya empat kali seminggu sejak tahun 2010 sehingga sekarang.

“Saya sentiasa standby set memancing di motosikal dan singgah dahulu memancing di Wetland awal pagi sebelum bertolak ke tempat kerja. Jika berkesempatan selepas bekerja saya akan singgah lagi memancing toman di situ sebelum pulang ke rumah.

“Seminggu sekali jika hari cuti saya akan sewa bot di Wetland untuk menjejaki toman sama ada sendiri atau dengan rakan lain,” katanya yang berasal dari Dalat, Sarawak.

Demi minatnya itu, dia yang bekerja sebagai juruteknik pergigian di ibu kota, tidak kisah mengeluarkan bajet sekitar RM250 sebulan hanya untuk bayaran tiket memancing di Wetland, tidak termasuk membeli kos peralatan.

Wetland merupakan tasik buatan di Putrajaya yang membenarkan aktiviti rekreasi termasuklah memancing.
Wetland merupakan tasik buatan di Putrajaya yang membenarkan aktiviti rekreasi termasuklah memancing.

Tanpa berselindung, dia mengakui belum ada lagi pemancing lain setegar dirinya memburu toman di Putrajaya.

Menurutnya lagi, sejak mula memancing di Wetland dia telah menaikkan banyak toman pelbagai saiz termasuklah paling besar seberat 9 kilogram sedikit masa dahulu.

Lanang berkata, dia hanya mempraktikkan teknik casting dan pancing layang untuk memancing toman manakala semua toman diperoleh dilepaskan semula seiring prinsipnya yang menyokong konsep tangkap dan lepas.

Penggemar jenama Abu Garcia ini turut menjelaskan toman memiliki karektor unik setiap fasa tumbesarannya. Ada yang digelar toman curut, rempit, bujang, negro, mama, papa dan setiap fasa itu ada keseronokan memancingnya.

“Setiap fasa umur toman ini, berbeza cara dia menyambar umpan dan tahap kerakusannya. Paling mudah adalah melontarkan gewang ketika toman sedang timbul mengambil udara di permukaan atau induk toman sedang bawa anak yang masih kemerahan.

Toman adalah ikan tempatan dikelaskan ikan terkuat kategori air tawar.
Toman adalah ikan tempatan dikelaskan ikan terkuat kategori air tawar.

“Selepas gewang disambar toman, saat bertarung (lawan tarik) adalah momen yang sangat seronok, takut gewang sangkut, tali putus dan macam-macam lagi dan apabila berjaya memancingnya, kita akan puas sangat-sangat,” katanya yang hobinya turut mendapat sokongan isteri tercinta.

Menjadikan medium media sosial sebagai platfom perkongsian foto, Lanang berkata, toman adalah ikan tempatan yang mesti dibanggakan kerana ramai pembuat gewang dan joran dari Jepun datang ke Malaysia untuk menguji kualiti produk rekaan mereka dengan menjadikan kekuatan toman sebagai testimoni.

“Sentiasa praktikkan lepaskan semula toman dan elak dibawa pulang sebagai hidangan terutama induknya.

“Nasihat saya gunakan peralatan bersesuaian memancing toman untuk elak ikan keletihan dan mati jika dilepaskan semula akibat terlalu lama pertarungan berlaku,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus