Covid-19: Rakyat Malaysia antara 65 kes baharu di Singapura

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mengesahkan terdapat 65 kes baharu positif jangkitan Covid-19, termasuk seorang rakyat Malaysia.

Wanita warga Malaysia berumur 40 tahun itu adalah pemegang Pas Kerja Singapura antara tiga kes tambahan yang dikaitkan dengan kluster Mustafa Centre sebuah kompleks beli-belah di Jalan Syed Alwi.

"Kluster berkenaan mempunyai 14 kes sekarang ini," jelas kementerian itu dalam satu kenyataan di sini.

Menurut MOH, daripada 65 kes baharu itu, sembilan dari luar manakala 56 melibatkan kes tempatan, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu kepada 1,114.

Sembilan kes dari luar itu mempunyai sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah dan ASEAN manakala 16 kes tempatan kini tidak mempunyai kaitan dan pengesanan kontak sedang dijalankan.

Berikutan lebih banyak kes tempatan dan kluster baharu muncul, Singapura hari ini memutuskan untuk mengenakan langkah lebih ketat selama sebulan bermula minggu depan, termasuk penutupan kebanyakan tempat kerja.

Pada hari ini, Singapura mengenal pasti tiga lagi kluster baharu di Ce La V, sebuah bar di Bay Front Avenue; Kelab Kriket Singapura di Connaught Drive dan tapak pembinaan di Project Glory of Market Street.

Semasa memaklumkan perkembangan terkini wabak Covid-19, MOH menjelaskan 16 lagi kes telah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan komuniti, menjadikan jumlah yang pulih sepenuhnya kepada 282.

Artikel Berkaitan:

Menurut kementerian itu, daripada 473 kes positif yang masih berada di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala 25 berada dalam keadaan kritikal di unit penjagaan rapi.

Sementara itu, 354 kes yang secara klinikal baik tetapi masih positif ujian untuk Covid-19 diasingkan dan dijaga di Concord International Hospital, Mount Elizabeth Hospital, Gleneagles Hospital dan Kemudahan Pengasingan Komuniti di D'Resort NTUC.

Awal hari ini, Singapura melaporkan satu lagi kematian akibat jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada lima, di negara tersebut

Setakat 12 tengah hari, MOH telah mengenal pasti 15,442 kontak rapat yang dikuarantin. - Bernama