X

Kindly register in order to view this article
!

Bersusah-susah dahulu, bersenanglah kemudian

A
A

HARI ini sudah hari ke lapan belas kita dalam fasa kawalan pergerakan. Semua orangpun maklum akan tujuan kawalan ini. Tidak lain dan tidak bukan untuk memutuskan rantaian Covid 19 daripada menular dengan lebih berleluasa.

Walaupun masih ada orang yang degil cuba melawan arahan kerajaan ini, maka kita berharap mereka akan insaf dan faham. Yang paling penting bersabarlah. Seperti kata peribahasa Melayu yang penuh dengan hikmah dan tauladan, ‘bersusah-susah dahulu, bersenanglah kemudian’.

Dan kepada yang masih ingkar itu diharapkan manfaatkanlah masa dengan membaca buku-buku supaya kebodohan diganti dengan kecerdikan.

Saya tidaklah beremosi di sini. Cuma ketika membaca masih ada yang ingkar ditangkap, tidak dapatlah saya berfikir apa yang ada dalam fikiran mereka. Kalau betul terdesak tidak apalah. Tetapi yang ditangkap itu memberi alasan tidak munasabah pula. Memang, perubahan rutin kehidupan kita ini boleh membuatkan kita tertekan juga. Pada masa yang sama, pandangan kita ataupun pergaulan kita dengan orang sekeliling pun sudah menjadi lain.

Kadang-kadang penuh dengan prejudis mengikut bahasa undang-undangnya atau penuh dengan syak wasangka kalau dalam bahasa mudah difahami. Apa tidaknya, kita sekarang perlu menjarakkan diri daripada orang lain. Saya selalu juga disuruh oleh isteri untuk membeli barangan dapur di pasar. Kadang-kadang terserempak dengan jiran tetangga dan kawan-kawan juga.

Tetapi terdetik di hati kalau-kalau mereka ini ada penyakit pula. Hati saya tiba-tiba menjerit, “jangan tegur aku, pi jauh pi jauh”. Kadang-kadang pula saya melencong jauh apabila terserempak dengan kawan-kawan.

“Sal beli apa tu?” laung kawan sambil mengangkat tangan. Seperti biasa saya pun mengangkat tangan juga sambil hati menjerit pula, “jangan mai dekat, jangan mai dekat”. Dan pada masa yang sama kita tidak mahu lagi bercakap-cakap seperti biasa. Kita akan lebih selesa berbual dalam media sosial sahaja. Dan akhirnya seperti yang diramal, kita akan lebih mesra di dalam talian dan akan hilang skil berkomunikasi depan-depan.

Baru-baru ini anak saya yang bongsu demam pula. Apabila badan panas, saya suapkan ubat demam sahaja. Suhu kembali turun, maka diapun kembali aktif seperti biasa.

Tidak lama kemudian suhu badan kembali tinggi. Sekali lagi saya suapkan ubat demam. Dan sekali lagi dia kembali aktif. Setelah beberapa hari demamnya masih tidak sembuh, tetapi memberitahu saya pula, “Abah, sakit tekak.”

Seperti yang diduga saya dilanda kerisauan pula. Terdetik di dalam hati agar dijauhi daripada malapetaka yang tidak dikehendaki.

Nasihat

Isteri menyarankan saya ke klinik. Saya agak susah hati juga memandangkan keadaan sekarang. Lagipun pada pendapat saya adalah lebih baik hindarkan diri buat sementara untuk ke klinik. Tetapi isteri menyuruh saya membawa juga.

Seperti biasa sebelum ke klinik kerajaan, saya menghantar mesej kepada jururawat yang saya kenal ketika menghadiri klinik berhenti merokok.

“Misi, boleh datang tak? Anak demam pula.”

“Boleh datang. Kalau demam terus ke khemah Covid ya,” kata jururawat tenang.

Dipendekan cerita, semua kakitangan klinik kerajaan sangat tenang dan menyenangkan. Mereka memeriksa, memberi nasihat dan sentiasa memberi kata semangat untuk kita menjaga kesihatan terutama makan makanan berkhasiat untuk menguatkan badan kita.

Tidak perlu syak wasangka dan takut. Jika sakit terus ke hospital untuk diperiksa. Yang paling penting selalu menjaga kebersihan yang sepatutnya menjadi amalan penting kita. Saya pun sempat juga berpesan kepada anak bongsu,

“Kena makan sayur. Baru badan kuat macam Popeye tu,” kata saya sebagai nasihat.

“Cerita Popeye? Cerita apa tu?” tanyanya.

Oh saya tersedar, Popeye bukan lagi hero zaman sekarang.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus