The Lions prihatin mangsa terjejas Covid-19

Prof Dr Azizan (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Prof Emiritus Dr Azraii.
Prof Dr Azizan (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Prof Emiritus Dr Azraii.
A
A
A

KAPTEN UiTM FC, Muhammad Faizal Mohd Arif menyifatkan sumbangan The Lions kepada golongan terkesan penularan wabak koronavirus (Covid-19) khasnya para penyokong kelab itu tidak sebesar pengorbanan pemain ke-12 itu kepada kelab Liga Super berkenaan selama ini.

Menurutnya, para penyokong The Lions yang juga penuntut UiTM sememangnya menjadi tulang belakang dalam menyuntik semangat dalam kalangan pemain.

"Penuntut-penuntut UiTM selama ini adalah penyokong dan tulang belakang kepada UiTM FC baik aksi di laman sendiri ataupun lawan.

"Apabila wabak Covid-19 menular semua rakyat seluruh dunia terkesan dengan pandemik ini tidak terkecuali penuntut-penuntut UiTM.

"Jadi sudah sampai masanya warga UiTM FC pula menghulurkan sumbangan kepada mereka yang terlibat.

"Kalau selama ini para pemain UiTM FC sentiasa mengharapkan sokongan penyuntik semangat bila kita bermain, maka kali ini kita merasakan pula kesusahan para penyokong kita.

"Jadi apabila pengurusan UiTM FC melancarkan program UiTM FC Prihatin bagi membantu mereka, saya terus memberi sokongan padu," katanya.

Tabung khas Covid-19 UiTM FC bertujuan meringankan beban para penuntut yang tidak dapat pulang ke kampung selepas lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan 2 sehingga 14 April depan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, majlis ringkas penyerahan cek sumbangan UiTM FC disampaikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar yang juga Presiden UiTM FC, Prof Datuk Dr Azizan Abdullah kepada Naib Canselor UiTM, Prof Emiritus Datuk Dr Azraii Kasim.

Sementara itu menurut Prof Azizan, sumbangan yang diberikan adalah hasil kutipan daripada para pemain, jurulatih dan pegawai skuad Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia UiTM FC.

Para penyokong dan peminat yang ingin turut serta dalam program UiTM FC Prihatin ini boleh melayari laman FB UiTM FC.