PM kelapan tadbir negara atau bedak ghanimah?

Mujahid
Mujahid
A
A
A

BAHASA utara guna istilah 'pakat bedak' (bukan bedak talkum) dengan makna ambil habuan masing-masing. 'Ghanimah' pula dari bahasa Arab makna harta rampasan perang yang dibahagikan. 'Bedak ghanimah' untuk kerajaan PN (Perikatan Nasional) ialah bagi habuan jawatan masing-masing.

Perdana Menteri (PM) kelapan tadbir negara dengan desakan parti bersamanya tuntut ghanimah masing-masing sebagai habuan. Untuk rekod, semua mereka berada di persada kuasa hari ini atas konspirasi jahat dengan membelakangkan mandat rakyat. Atau istilah yang dipakai 'pintu belakang' dan 'tebuk atap'.

Walaupun semasa PH memerintah Covid-19 telah pun merebak, ini tidak menghalang Langkah Sheraton daripada diteruskan dan mereka tahu risiko tindakan jahat mereka amat merbahaya kepada negara. Golongan tebuk atap kecewa sebab isu penggantian kepimpinan telah pun disetelkan pada Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari. Episode pengkhianatan seterusnya sudah diketahui umum.

Bukti pakat bedak ghanimah dapat dilihat betapa besarnya anggota Kabinet PM kelapan hari ini. Dalam arus gelombang Covid-19, PM kelapan mendahulukan ghanimah daripada fokus untuk kecilkan saiz Kabinet. Jika PM kelapan tidak tebuk atap, pelantikan menteri yang kritikal sahaja diperlukan pada masa krisis pandemik ini, sekali gus menjimatkan kantung negara.

Pelantikan terkini Presiden Pas (rakan konspirator PM kelapan) sebagai Duta Khas PM ke Timur Tengah bertaraf menteri adalah satu lagi bukti 'pakat bedak ghanimah'. Walhal dasar Timur Tengah untuk kepentingan negara tidaklah kritikal berbanding kepentingan Asean dan China.

Perlukah Duta Khas? Ia perlu jika untuk 'bedak ghanimah' tetapi untuk pentadbiran negara, ia tidak diperlukan kerana wakil Suruhanjaya Tinggi dan Kedutaan kita sudah memadai. Hubungan Timur Tengah lebih kepada kebudayaan, pendidikan, keagamaan dan isu Palestin yang menjadi tumpuan seluruh dunia Islam.

Lagipun pergolakan geopolitik dan penggunaan keganasan mazhab serta kelompok takfiri menjadikan Timur Tengah atau Asia Barat zon konflik tidak berkesudahan. Apa kepentingan negara dalam pergolakan ini? Sikap kita selama ini adalah kekal berkecuali walaupun pada waktu yang sama kita ada kepentingan hubungan dengan mereka. Apakah Menteri Luar Negeri tak layak tangani perkara asas ini?

Duta Khas mewakili PM seharusnya membawa agenda antarabangsa yang lebih terbuka, progresif dan pulangan kepada negara, sudahkah diambil kira gaya berfikir Presiden Pas ini? Perlukah pelantikan ini pada masa impak Covid-19 dan pasca krisis ini menuntut tumpuan kepada pembinaan dalaman negara dan bukan polisi antarabangsa?

Artikel Berkaitan:

Jawapannya tidak perlu jika PM kelapan benar-benar nak jaga negara tapi sangat perlu jika PM kelapan kena pakat 'bedak ghanimah' dan itulah sahaja habuan Presiden Pas buat masa ini.

**Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa merupakan Naib Presiden Amanah, Ahli Parlimen Parit Buntar