X

Kindly register in order to view this article
!

Gelandangan perlukan pakaian, kasut

Sumbangan pakaian dan kasut diperlukan bagi membantu golongan gelandangan yang kini ditempatkan di beberapa pusat penempatan sementara.
A
A

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang bermurah hati untuk menyumbang pakaian dan kasut boleh berbuat demikian bagi membantu golongan gelandangan yang diselamatkan di sekitar kawasan pusat bandaraya.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Azmir Ahmad berkata, sumbangan pakaian itu akan diagihkan kepada gelandangan yang diselamatkan ketika Operasi Bersepadu Gelandangan Covid-19 dilaksanakan sejak 26 Mac lalu.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya sudah menyediakan beberapa kelengkapan termasuk tilam, bantal, sabun mandi, sabun basuh baju, ubat dan berus gigi, tuala mandi dan tuala wanita kepada gelandangan yang ditempatkan di beberapa pusat penempatan sementara.

Orang ramai digalak menyumbangkan pakaian kepada gelandangan yang diselamatkan ketika Operasi Bersepadu Gelandangan Covid-19 dilaksanakan sejak 26 Mac lalu.
Orang ramai digalak menyumbangkan pakaian kepada gelandangan yang diselamatkan ketika Operasi Bersepadu Gelandangan Covid-19 dilaksanakan sejak 26 Mac lalu.

“Orang ramai boleh memberi sumbangan pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak serta kasut atau selipar kepada golongan ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Pakaian yang hendak disumbangkan haruslah bersih, boleh digunakan terus, dilipat dan diasingkan mengikut jantina. Pakaian dalam adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan kutipan dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan penyumbang perlu menghubungi nombor 0340267222 untuk memberikan maklumat diperlukan.

Terdahulu, DBKL menyelamatkan hampir 700 gelandangan di beberapa lokasi panas sekitar bandaraya termasuk kota raya, Masjid Jamek, Jalan Masjid India, Jalan Silang dan Jalan TAR dalam operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi sebelum ini.

Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul; Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir, Desa Pahlawan; Pusat Komuniti Setiawangsa dan Dewan Serbaguna Alam Damai, Cheras.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!