Pergerakan 10 kilometer: Pesakit diberi kelonggaran

Datuk Seri Dr Adham Baba
Datuk Seri Dr Adham Baba
A
A
A

SERDANG - Kementerian Kesihatan memberi kelonggaran khusus kepada pesakit yang memerlukan rawatan atau mendapatkan bekalan ubat di hospital yang melebihi jarak lingkungan 10 kilometer dari kediaman mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka hanya perlu memaklumkan atau menunjukkan surat rawatan itu ketika melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Kita mempunyai beberapa kelonggaran kepada mereka yang memerlukan rawatan dan bekalan ubat.

"Tiada sebab untuk menghalang mereka pergi lebih daripada 10 kilometer jika perkhidmatan kesihatan melebihi jarak itu.

"Masalah banyak berlaku di Sabah dan Sarawak dan di Kuala Lumpur kedudukan perkhidmatan kesihatan dekat," katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Khas Media ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesukaran yang dihadapi pesakit susulan kerajaan hanya membenarkan orang ramai membeli barang keperluan dalam jarak lingkungan 10 kilometer sahaja dari rumah masing-masing.

Perkara itu terkandung dalam syarat-syarat pergerakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang digazetkan 1 April lalu.

Mengulas lanjut, Adham berkata, kerajaan meletakkan aspek kesihatan rakyat sebagai keutamaan.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanan PKP ini juga bertujuan memastikan kesejahteraan kesihatan dan keselamatan rakyat.

"Jadi, tiada masalah (bagi pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di hospital yang melebihi 10 kilometer dari kediaman), hanya perlu beritahu (pihak berkuasa," katanya.