'Covid-19 buka pekung masyarakat kita'

GAMBAR HIASAN - Bernama
GAMBAR HIASAN - Bernama
A
A
A

Malaysia kini sedang berada dalam minggu ketiga perintah kawalan pergerakan. Meskipun kita dikhabarkan tentang tanda awal yang menunjukkan usaha-usaha kita sedang mencapai kejayaan, sebenarnya jalan yang kita perlu tempuh masih panjang.

Pandemik koronavirus ini telah mengubah kehidupan kita semua dengan begitu mendadak. Ianya seperti sebuah distopia: penyakit yang merebak dengan cepat, kematian mendadak, pembelian panik, bandar-bandar menjadi kosong dan sunyi. Manakala usaha-usaha kita dalam membendung wabak juga sama dramatik; dengan perintah duduk di rumah masing-masing, pergerakan terhad, perintah-perintah robotik yang aneh di kedai-kedai runcit.

Pandemik ini juga seperti menekan brek kepada ekonomi yang sudah sedia goyah. Sebuah ekonomi yang bergantung pada kepenggunaan untuk terus berfungsi kini sedang terlucut keupayaannya. Sementara kita di rumah bermain petik jari atau bergelut dengan sambungan internet yang tidak stabil sepanjang mesyuarat-mesyuarat menggunakan Zoom, di luar sana ramai rakyat Malaysia lain yang selama ini bergantung kepada kerja hakiki mereka namun hari ini secara tiba-tiba telah kehilangan sumber pendapatan.

Ramai pekerja-pekerja kontrak, kaum peniaga, kaum penjaja dan mereka-mereka yang sebelum ini berada dalam industri perkhidmatan telah kehilangan pekerjaan mereka, dan ini bermaksud mereka turut kehilangan ikhtiar hidup. Pandemik ini membuka pekung tentang masyarakat kita yang sebenarnya - rapuh dan tidak adil, tidak upaya membuat keutamaan sekalipun sedang berada dalam persoalan hidup dan mati.

Dalam pakej rangsangan yang diumumkan minggu lalu, satu daripada banyak inisiatif yang sebenarnya lebih kurang sama menjelaskan kepada kita tentang betapa buruknya keadaan sekarang - walaupun kemudiannya kita tahu bahawa pakej ini tidak akan cukup. Bantuan tunai sekali sahaja kepada golongan termiskin tidak akan membantu mereka bertahan, manakala IKS pula tidak mendapat bantuan yang cukup. Kemudian langkah-langkah seperti membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP mereka adalah langkah yang sebenarnya menjejaskan masa hadapan mereka yang masih tidak tentu. Bantuan akan mengambil masa untuk diagihkan, dan ini tidak akan membantu terutamanya golongan yang menyara hidup dengan gaji harian.

Di barisan hadapan, pekerja-pekerja dan perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan sedang lemas. Peralatan dan bekalan-bekalan tidak mencukupi, terutamanya di bahagian luar Lembah Klang, yang mungkin akan mengakibatkan peningkatan jumlah kematian. Namun entah bagaimana kita berkelakuan seolah-olah semua ini akan berakhir tidak lama lagi, perkhidmatan akan beroperasi seperti biasa. Cuba letakkan ke tepi sebentar bagaimana bentuk dunia pasca-Covid19, pemulihan nyata akan mengambil masa. Siapa tahu apa yang akan berlaku antara hari ini dan esok?

Bahagian-bahagian lemah dalam masyarakat kita tidak dilindungi - menunjukkan betapa ramai daripada kita semua ini hanyalah tinggal selangkah dari kemiskinan. Sekarang bencana sedang tiba, dan ironinya bukanlah kaum jutawan, usahawan atau guru-guru pemasaran digital yang datang menyelamatkan kita. Sebaliknya kita semua sedang bergantung kepada barisan hadapan yang terdiri daripada pekerja kesihatan awam dan perkhidmatan-perkhidmatan penting - iaitu pekerjaan yang sebelum pandemik global melanda adalah pekerjaan yang dipandang lekeh - untuk terus menjaga keselamatan memastikan enjin ekonomi tetap berjalan.

Menghargai orang-orang yang berani ini dalam keadaan selesa berada di rumah dengan membuat video-video yang menyentuh perasaan dan dikongsikan di media sosial tetap tidak dapat melindungi mereka semua daripada bahaya. Tahun lalu kita pernah menyaksikan sebuah episod apabila Foodpanda mengubah skim pembayaran kepada pekerja mereka. Juga episod lain tentang jaminan kenaikan gaji dan pembaharuan kontrak buat pegawai perubatan awam. Hari ini, dalam masa-masa yang sulit begini, kumpulan-kumpulan inilah yang pertama sekali membayar harga yang bukan dari kesalahan mereka sendiri, memburukkan lagi ekonomi yang sedia rapuh. Sekalipun apa yang berlaku sekarang adalah krisis kesihatan awam, namun ianya menjelaskan kebergantungan kita semua. Bukan CEO yang menghantarkan makanan atau bahan makanan ke rumah anda, bukan CEO yang membungkus atau mengira jumlah barangan anda di pasaraya, tetapi pekerja-pekerja kontrak dengan gaji yang rendah dan tidak mendapat kelebihan-kelebihan tertentu.

Artikel Berkaitan:

Perjuangan menentang Covid-19 ini juga sejenis perjuangan untuk menegakkan keadilan sosial dan peluang yang samarata. Virus ini nyata tidak mendiskriminasi maka mengapa perlu kita berbuat demikian? Sekarang apa yang kita perlu lakukan adalah melindungi dan mengembangkan jaring jaminan kita, dengan memperkenalkan satu set langkah-langkah sosial yang mempromosikan kebebasan dan martabat untuk semua. Idea pendapatan asas sejagat (universal basic income) misalnya memerlukan pertimbangan yang serius. Kadang-kadang bila kita fikirkan, idea memberikan setiap orang sejumlah wang asas untuk memastikan kelangsungan hidup sepertinya aneh dan tidak masuk akal, tetapi apabila berhadapan dengan masa-masa krisis seperti sekarang baru kita sedar akan kepentingannya. Pada masa aman, wang tersebut akan membantu kita meneruskan kehidupan. Manakala pada masa kecemasan, ia berfungsi sebagai sandaran supaya kesihatan dan keselamatan kita dilindungi.

Pendapatan asas tidak akan mengurangkan kemiskinan, tetapi ia akan membekalkan kita alatan untuk keluar daripadanya. Ia adalah tentang keadilan sosial, dengan memberikan kepada setiap orang peluang untuk berjuang di dunia yang tidak adil. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memutuskan samada seseorang itu wajar hidup atau mati. Dasar-dasar kebajikan sosial cenderung ditangguhkan berdasarkan kemampuan. Tetapi apa yang kita gagal ialah membincangkan tentang kemampuan apabila ekonomi jatuh dan institusi kapitalis beratur untuk menagih ikat jamin sosialis mereka. Kenapa apabila ia hadir kepada kita atau kepada golongan yang terpinggir dalam masyarakat, ianya menjadi kontroversi, tidak produktif dan tidak terjangkau?

Pandemik ini adalah contoh terbaik tentang dilema orang-orang yang terkurung - sesiapa yang bertindak menurut kepentingan diri akan menjadi kurang optimal. Mereka ini ialah orang-orang yang menimbun bahan makanan sehingga orang lain tidak dapat makan, melanggar arahan tinggal di rumah, memperburuk risiko jangkitan dan menambah tekanan terhadap sistem kesihatan kita. Walhal dalam masa krisis kita semua perlu melakukan bahagian kita dan bekerjasama. Ini juga hal yang sama yang perlu diteruskan pada masa aman.

Barangkali kita semua sedang menderita sepanjang tempoh PKP ini, secara kewangan, mental, fizikal, emosi. Mungkin kalian adalah sebahagian orang yang telah kehilangan pekerjaan, atau pemilik perusahaan yang sedang berjuang mempertahankan apa yang tinggal. Ketahuilah bahawa kenyataan yang kalian alami sekarang adalah sama seperti apa yang sebahagian rakyat Malaysia lain alami sebelum ini. Sekiranya kesihatan dan kewangan kalian baik, anggaplah diri kalian beruntung dan fikirkanlah pula mereka yang kurang beruntung. Tanpa sedar, kitalah sebenarnya yang paling banyak bergantung kepada mereka.