X

Kindly register in order to view this article
!

Tengah PKP, sempat joging!

Operasi SJR yang dilaksanakan di sekitar daerah Petaling Jaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
A
A

PETALING JAYA - Seramai 10 individu termasuk seorang lelaki warga asing yang berjoging di sekitar daerah ini ditahan polis bagi tempoh dua hari sejak semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun ketika sekatan jalan raya di Persiaran Surian menghala ke Pelangi Damansara kerana gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakannya.

Sementara itu, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 20 tahun ditahan kira-kira jam 12.20 tengah hari kerana tidak mengendahkan arahan supaya beredar ketika berjoging di Taman Permainan Flat Meranti, Sri Damansara.

"Selain itu, tiga lelaki berusia 21 dan 22 tahun yang sedang berkumpul di Taman Permainan Jalan Sepah Puteri 5/10 Seksyen 5 Kota Damansara turut ditahan selepas mengabaikan arahan untuk beredar.

Operasi SJR yang dilaksanakan di sekitar daerah Petaling Jaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Operasi SJR yang dilaksanakan di sekitar daerah Petaling Jaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

"Polis turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia di laluan Plaza Tol Sungai Buloh, Damansara Damai dan Plaza Tol Subang Kelana Jaya kerana gagal memberi alasan kukuh mengenai pergerakannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, tiga lelaki turut ditahan secara berasingan hari ini.

Katanya, dua daripadanya ditahan ketika berada di lorong belakang sebuah premis barang lusuh di Jalan PJS3/6, Petaling Jaya manakala seorang lagi di Plaza Tol PJS 2 Petaling Jaya.

Tambahnya, kesemua tangkapan disiasat di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Menurutnya secara keseluruhan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, seramai 157 ditahan di daerah Petaling Jaya dan sebanyak 80 kertas siasatan dibuka.

"Seramai 17 individu juga sudah dituduh. Polis memberi amaran kepada orang awam supaya mematuhi PKP yang telah memasuki fasa kedua ini. Kegagalan mematuhi peraturan ini membolehkan mereka ditahan dan didakwa di mahkamah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!