Jangan main-main dengan netizen, mereka madu dan mereka racun

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

DUA tiga hari ini Merak Jalanan sempat ikut perkembangan perbalahan antara netizen dengan tempatan berhubung kes bantuan. Gerun pula bila Merak Jalanan tengok serangan netizen ke atas artis. Habis penuh laman sosial dengan isu yang sama, malah bersambung-sambung dari satu hari ke satu hari yang lain.

Sebenarnya Merak Jalanan bukanlah nak bercerita hal perseteruan mereka, sebaliknya cuma terpanggil nak berkongsi kisah tentang kuasa netizen sahaja.

Kisah netizen itu sebenarnya pernah meletus di Korea Selatan dalam industri muzik Kpop sekitar 2009 dan berterusan sehingga ke hari ini. Netizen atau warga maya ini adalah peminat fanatik yang bergerak aktif dalam dunia siber. Mereka digelar netizen hasil gabungan perkataan internet dan citizen (net+izen). Mereka ini boleh disifatkan sebagai 'madu dan racun'. Kenapa? Sebab merekalah yang membantu menaikkan artis dan mereka jugalah yang membunuh karier artis.

Dalam sejarah Kpop, banyak sumbangan netizen sebagai madu. Sebagai contoh, sebuah syarikat rakaman pernah mengumumkan hanya akan membayar royalti kepada artisnya apabila album terbaru dikeluarkan mencecah jualan 500,000 ribu unit. Kalau gagal, mereka tidak mendapat sebarang bayaran kecuali hasil konsert.

Melihatkan situasi tersebut, maka berbondong-bondonglah netizen mengumumkan satu kempen untuk membeli album tersebut sehingga mencapai angka ditetapkan. Ternyata usaha mereka itu membantu artis berkenaan apabila jualan album tersebut melepasi angka 500,000 unit dalam masa dua bulan.

Kalau sebagai racun pula, netizen pernah membuatkan ramai artis meninggalkan dunia hiburan dan kembali menjadi orang biasa. Lebih sadis apabila serangan netizen itu didakwa turut menjadi punca kepada kematian seorang artis Kpop wanita pada tahun lalu.

Sebab itu di Korea Selatan, artis sangat cermat bila berdepan dengan netizen. Mereka cepat-cepat minta maaf kalau ada kata-kata atau perbuatan mereka ditegur oleh netizen.

Kenapa? Sebab semua orang tidak tahu siapa ini sebenarnya netizen. Barangkali 'kau, aku dan dia' tapi penangan yang tidak diketahui itu boleh mengoncang dunia siber sampai individu diserang itu tersungkur lalu memohon maaf.

Artikel Berkaitan: