MSNT sedia majukan sukan luncur ombak

Peserta tunggal bertudung, Mona Rasidah menarik perhatian apabila muncul juara bagi kategori terbuka wanita.
Peserta tunggal bertudung, Mona Rasidah menarik perhatian apabila muncul juara bagi kategori terbuka wanita.
A
A
A

TERENGGANU mempunyai potensi besar dalam sukan luncur ombak dan boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibnu Amin Busu berkata, keunikan pantai yang ada di negeri ini mempu membawa sukan itu ke peringkat lebih tinggi selain kejohanan tempatan.

"Kita bersedia membantu memajukan kegiatan riadah itu terutama apabila ia dipertandingkan dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada selain Sukan SEA 2019 di Filipina.

"Sebelum ini, kita pernah buat perlumbaan kapal layar Piala Monsun (Monsoon Cup) di perairan Pulau Duyung dan luncur ombak ini boleh menjadi satu lagi sukan yang dipopularkan pada musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 anjuran Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT) di Pantai Batu Buruk di sini, baru-baru ini.

Peserta kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 merakam gambar bersama-sama selepas tamat pertandingan di Pantai Batu Buruk di sini.
Peserta kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 merakam gambar bersama-sama selepas tamat pertandingan di Pantai Batu Buruk di sini.

Kejohanan selama dua hari itu menyaksikan peserta dari Cherating, Pahang, Mohd Nazrin Nasruddin menjuarai kategori terbuka shortboard manakala tempat kedua dimenangi Muhammad Didaqt Mussaddiq, Muhammad Aiman Syafeeq (ketiga) dan Mohd Daud (keempat).

Bagi kategori longboard terbuka pula dimenangi Mohd Suhaimi, Muhammad Khairul Muzaffar Shahnun (kedua), Muhammad Izzi Mohd (ketiga) dan Asrul Hafizuddin Suhaimi (keempat).

Artikel Berkaitan:

Dalam pertandingan itu, satu-satunya peserta bertudung bagi kategori terbuka wanita iaitu Mona Rasidah Abdul Rashid menarik perhatian ramai apabila menjuarai kategori terbuka.

Tempat kedua dimenangi Nur Alia, Qadeja Munirah Mussaddiq (ketiga) dan Sarah Faqihah (keempat).

Dalam perkembangan sama, Ibnu Amin berkata, penggiat sukan luncur ombak perlu didedahkan dengan siri latihan di luar negara kerana keadaan ombak di sini yang sesuai bagi aktiviti sukan itu hanya terhad pada musim tengkujuh.

"Kalau mahu bawa sukan ini ke peringkat antarabangsa, kita tidak boleh berlatih di Terengganu sahaja kerana sukan luncur ombak di sini bermusim.

"Jadi, di luar musim tengkujuh mereka kena berlatih di luar negara.

"Saya sarankan mana-mana persatuan sukan termasuk luncur ombak segera mendaftar dengan pesuruhjaya sukan dan badan gabungan di bawah MSNT bagi diketengahkan," katanya.

Berdasarkan rekod, setakat ini terdapat 44 persatuan sukan luncur ombak yang berdaftar di bawah MSNT.