Abdul Hadi bantu Malaysia pimpin perpaduan ummah, keamanan sejagat

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat membantu kerajaan Malaysia memimpin perpaduan ummah dan keamanan sejagat.

Demikian reaksi Ahli Parlimen Marang selepas dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri.

"Saya dengan rendah diri mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"InsyaALLAH saya akan memanfaatkan sedikit pengalaman untuk membantu Kerajaan Malaysia memimpin agenda perpaduan ummah dan keamanan sejagat," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Abdul Hadi dilantik duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman Abdul Hadi sebagai bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada 1999 hingga 2004.

Abdul Hadi juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Beliau pernah tersenarai sebagai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016.

Artikel Berkaitan:

Antara yang pernah dilantik memegang jawatan tersebut ialah Tun S Samy Vellu sebagai Duta Khas bertaraf Menteri ke India dan Asia Selatan serta Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Duta Besar ke Indonesia).

Selain itu, turut dilantik Tan Sri Bernard Giluk Dompok (Duta Besar ke Vatican City), Tan Sri Zulhasnan Rafique (Duta ke Amerika Syarikat) dan Datuk Seri Hassan Malek (Duta ke Kemboja).

Kedutaan Malaysia di Timur Tengah adalah terdiri daripada Azerbaijan, Bahrain, Iran, Jordan, Kuwait, Lebanon, Oman, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Arab Saudi dan Turki.