Bekas banduan tumbuk pengawal keselamatan ditahan

Polis cuba menahan suspek yang sedang berehat di sebuah pangsapuri di sini malam semalam. - Foto SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
Polis cuba menahan suspek yang sedang berehat di sebuah pangsapuri di sini malam semalam. - Foto SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang bekas banduan ditahan selepas menumbuk muka pengawal keselamatan warga Nepal di pos pengawal sebuah pangsapuri di sini malam semalam.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 10.30 malam semalam selepas suspek ditegur dengan nada kasar oleh mangsa ketika masuk ke kawasan pangsapuri tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, ketika itu suspek yang berusia 34 tahun masuk ke kawasan pangsapuri tanpa menggunakan laluan pejalan kaki lalu ditegur oleh mangsa.

"Suspek bagaimanapun terus menuju ke arah mangsa lalu menumbuk bahagian mukanya mengakibatkan bengkak di dahi dan lidah.

"Sebelum suspek beredar, dia sempat mengugut dengan berkata, "hang tunggu aku cari hang lagi". Suspek kemudiannya beredar dari pos pengawal tersebut," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, ketika kejadian, terdapat saksi bebas telah meleraikan serangan suspek terhadap mangsa.

Menurut Anbalagan, siasatan mendapati mangsa merupakan pengawal keselamatan tetap di pangsapuri tersebut manakala suspek mempunyai abang yang tinggal di situ tetapi dia tidak mempunyai kad akses untuk masuk ke kediaman terbabit.

"Punca kejadian kerana suspek tidak berpuas hati ditegur oleh mangsa dengan nada kasar berikutan tidak menggunakan laluan pejalan kaki. Mangsa yang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Balik Pulau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anbalagan berkata, suspek tidak bekerja dan ujian saringan air kencingnya negatif.

"Difahamkan suspek yang mempunyai lima rekod berkaitan dadah dan satu jenayah baru keluar Penjara Jawi pada 14 Mac lalu kerana memiliki barang curi.

"Suspek direman tiga hari hingga 4 April ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang serta mengugut," katanya.