Covid-19: Netanyahu dikuarantin buat kali kedua

Netanyahu - Foto 123RF
Netanyahu - Foto 123RF
A
A
A

BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terpaksa dikuarantin buat kali kedua dalam masa seminggu selepas Menteri Kesihatan, Yaakov Litzman positif koronavirus (Covid-19), lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pejabat perdana menteri.

Menurut kenyataan itu, Netanyahu, 70, akan kekal dalam kuarantin secara sukarela sehingga Rabu depan kerana beliau sering bermesyuarat dengan Litzman.

Langkah itu dibuat berdasarkan cadangan doktor peribadi Netanyahu dan garis panduan kementerian kesihatan.

Litzman yang merupakan pemimpin Parti United Torah Jodaism kini dikuarantin bersama isterinya yang turut disahkan positif Covid-19.

Netanyahu keluar daripada kuarantin selama dua hari selepas seorang penasihatnya disahkan dijangkiti.

Netanyahu bukan saja berdepan cabaran menangani wabak Covid-19, tetapi turut bergelut untuk membentuk kerajaan perikatan dengan bekas seteru politiknya, Benny Gantz serta parti berhaluan sederhana, Parti Biru Putih.

Netanyahu turut berdepan perbicaraan rasuah yang dijadualkan bermula pada 24 Mei.

Menurut perangkaan rasmi, 6,211 diuji positif wabak itu di Israel dan 31 orang meninggal dunia. - Bernama

Artikel Berkaitan: