PKPD Hulu Langat: Bekalan susu, lampin bayi diperlukan

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui. -Foto Bernama
Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui. -Foto Bernama
A
A
A

HULU LANGAT - Bekalan susu dan lampin pakai buang untuk bayi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini masih belum mencukupi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faisal Eddy Yusof berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai bekalan seperti lampin dan susu bayi yang masih tidak dapat dipenuhi.

"Saya ada terima makluman mengenai kekurangan bekalan tersebut, Insya-ALLAH, di pihak saya, saya akan cuba usahakan bekalan itu.

"Mengenai soal bekalan makanan dewasa, ia difahamkan tidak jadi masalah cuma apa yang menjadi isu adalah bekalan susu dan lampin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau turut berharap masalah bekalan susu dan lampin pakai buang bayi itu mendapat perhatian daripada kerajaan Pusat.

"Kena ingat, dalam keadaan PKPD kedai ditutup, jadi sukar ibu bapa nak keluar beli dan sebagainya. Jadi perlu bekalan susu dan lampin juga dimasukkan sekali dalam bekalan asas yang diperuntukkan kepada penduduk terlibat.

"Perkara ini bukan menjadi salah siapa-siapa, namun dalam keadaan ketika ini perlu ada satu kaedah untuk masukkan sekali lampin dan susu dalam bantuan yang diagihkan," katanya.

Terdahulu, seramai 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui di sini diarahkan menjalani PKPD.

Artikel Berkaitan:

PKPD di kawasan itu turut melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu berkuatkuasa mulai tengah malam 30 Mac 2020 hingga 13 April 2020.