Pulau Pinang kurangkan subsidi air

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Pengurangan subsidi air di Pulau Pinang yang bakal dilaksanakan adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembangunan infrastruktur air dijalankan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Kon Yeow berkata kerajaan negeri menjangkakan akan mengurangkan subsidi air yang diberikan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) antara 20 hingga 30 peratus.

"Pada ketika ini subsidi yang diterima PBAPP adalah dalam lingkungan RM80 hingga RM81 juta subsidi setiap tahun . Maka jika subsidi diberikan ia akan mengurangkan kewangan PBAPP untuk menjalankan kerja-kerja infrastruktur tersebut,

"Jikalau subsidi ditukar kepada dana untuk pembangunan infrastruktur untuk menjamin bekalan dan sumber air yang mencukupi, bersih, tak ada catuan air maka itu, kos melepasi yang perlu kita pikul, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2019 di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang di sini hari ini.

Kon Yeow berkata atas dasar itu, beliau berharap pengguna-pengguna di negeri ini memahami terhadap alasan yang diberikan pihak PBAPP dimana PBAPP tidak berniat untuk menaikan kadar tarif air begitu saja tanpa sebab dan alasan.

"Kita harap pengguna semua faham itu alasan daripada pihak PBAPP, kita bukan sekadar nak naik tarif begitu saja. Perkara ini (kenaikan) juga tertakluk kepada Kerajaan Persekutuan dan Kabinet untuk memutuskan permohonan kita.

Kita boleh pohon, tetapi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kementerian akan menimbang apakah perbelanjaan yang perlu untuk kerja prasarana, apakah bebanan penguna-penguna apabila kadar air dinaikkan,” katanya.

Kon Yeow berkata kadar tarif air di negeri ini merupakan yang terendah di Malaysia dengan hanya RM0.32 sen bagi setiap 1,000 liter kerana penerimaan subsidi yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, katanya subsidi air sebanyak RM163.2 juta dalam tempoh dua tahun pada 2017 dan 2018 adalah tidak mampan kerana PBABPP memerlukan dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek kejuteraan bekalan air dalam tempoh 2019-2021.

Semalam Kon Yeow mengumumkan PBAPP akan menggunakan hasil tambahan daripada kenaikan tarif air untuk membiayai projek-projek bekalan air di negeri ini.

Lima projek utama yang dikenal pasti oleh PBAPP ialah Saluran Paip Berkembar Pulau Pinang Butterworth-Pulau Pinang (Saluran Paip Bawah Tanah ketiga), Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak, Menaik taraf Semua Loji Rawatan Air, Empangan dan Stesen Pam Sedia Ada, menggantikan dan memasang saluran paip baharu.

Rabu lepas, Kon Yeow mengumumkan bahawa kadar tarif air di Pulau Pinang akan meningkat sebanyak kira-kira 20 peratus tahun ini seiring dengan usaha oleh Kerajaan Persekutuan untuk menstruktrur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini. - Bernama