KKM selari ramalan WHO capai kemuncak kes positif tengah April

Dr Noor Hisham -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Noor Hisham -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) selari dengan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menjangkakan Malaysia akan mencapai kemuncak kes positif koronavirus (Covid-19) pada pertengahan bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kemuncak kes tersebut dijangka berlaku disebabkan kes import.

"Inilah yang kami ramalkan juga, lebih-lebih lagi kerana kami sedar kes import disebabkan ramai rakyat Malaysia pulang dari luar negara," katanya.

Disebabkan jangkaan tersebut, katanya, kerajaan mengambil langkah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dengan melaksanakan PKP, kami secara aktif dapat terus mengesan, menguji dan mengasingkan mereka terutama di kawasan titik panas," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, jangkaan tersebut akan menjadi sekadar ramalan sekiranya semua pihak bersatu berganding bahu memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Mengenai ujian saringan yang dilakukan oleh KKM, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia berada sama dengan tanda aras WHO.

"Sebelum ini, WHO mengeluarkan laporan setiap 10 ujian yang dijalankan ada satu kes positif baru ia mencapai tanda aras ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Ujian yang telah dilakukan KKM adalah sebanyak 43,462 dan kes positif sebanyak 3,116 atau 7.2 peratus iaitu kira-kira 10 peratus. Ini bermakna kita sama dengan tanda aras WHO," katanya.