‘Politik pengusiran’ menunjangi isu Palestin

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kanan) di Seminar Antarabangsa mengenai Palestin: Masa lalu, Kini dan Masa Depan yang dianjurkan oleh Institut Pengajian Asia (IAS) universiti di Universiti Chulalongkorn, hari ini. - Foto Bernama
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kanan) di Seminar Antarabangsa mengenai Palestin: Masa lalu, Kini dan Masa Depan yang dianjurkan oleh Institut Pengajian Asia (IAS) universiti di Universiti Chulalongkorn, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
BANGKOK - THAILAND. 'Politik pengusiran' merupakan halangan utama yang menunjangi isu Palestin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu seminar tentang Palestin di sini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan bahawa Palestin menjadi isu yang terus diperjuangkan dengan penuh keazaman, bukan sahaja oleh negara Islam, tetapi juga mereka yang rindukan keadilan serta tertegaknya hak asasi manusia.

“Tanah saya diambil, rumah saya dimusnahkan, anak-anak saya tidak mempunyai pendidikan dan saya tidak ada tempat untuk berteduh di tanah air sendiri. Inilah yang menjadi isu Palestin. Ia adalah isu pengusiran, apa yang anda miliki, dirampas,” kata Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

‘Seminar Antarabangsa Mengenai Palestin: Masa Lalu, Masa Kini dan Masa Depan’ yang berlangsung di Chulalongkorn University itu adalah anjuran Institut Pengajian Asia universiti berkenaan.

Anwar berkata beliau kecewa kerana pada era di mana setiap orang bercakap tentang demokrasi, kemanusiaan dan kebebasan, ada manusia yang gagal memahami prinsip asas berkaitan perkara yang berhak dinikmati dengan sepenuhnya oleh manusia.

Menurut beliau, semua manusia perlu dihormati dan hak mereka wajib dipertahankan, tidak kiralah sama ada mereka beragama Islam, Buddha, Kristian dan sebagainya.

“Tidak kiralah apa pun, semua manusia perlu dihormati dan hak mereka mesti dipertahankan,” katanya sambil menegaskan bahawa kuasa besar dunia, yang beliau tidak sebut negara mana, bersubahat dalam memburukkan lagi nasib rakyat Palestin.

Kuasa besar dunia, kata Anwar, “tidak peduli tentang keamanan atau keadilan”, tetapi “apa yang mereka ambil peduli ialah tentang minyak.”

Reaksi seluruh dunia terhadap isu Palestin, kata beliau, seolah-oleh mati akibat sikap yang wujud sekarang iaitu “sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi”.
Artikel Berkaitan:


Anwar, yang terkenal sebagai tokoh yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin, berkata beliau tidak nampak wujud sebarang harapan dalam tempoh terdekat bagi menamatkan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin sejak beberapa dekad lepas.

Beralih kepada perkara yang lebih hampir dengan rantau ini, beliau meminta negara anggota ASEAN bangun dan turut beri perhatian berhubung isu yang melibatkan nasib masyarakat Rohingya.

Beliau meminta agar negara di rantau ini mengambil pendirian lebih tegas tentang isu itu dan usah bersikap "membisu”.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga berkata, sebelum ini beliau menyokong Aung San Suu Kyi iaitu ketika pemimpin prodemokrasi Myanmar itu menjadi mangsa penindasan kerajaan tentera negaranya.

Anwar juga menyentuh tentang hal ehwal di Malaysia dengan berkata beliau mahu Malaysia berubah menjadi sebuah negara yang bersemangat dan bertenaga, demokratik, progresif, di mana orang Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain hidup sebagai suatu keluarga besar.

Anwar juga menyebut tentang aspirasinya untuk membebaskan Malaysia daripada rasuah dan ketidakadilan terhadap sesiapa jua. - Bernama