Jasa Abdul Isa tidak ternilai: Pas Kedah

Allahyarham Abdul Isa
Allahyarham Abdul Isa
A
A
A

ALOR SETAR - Badan Perhubungan Pas Kedah mengucapkan takziah atas pemergian bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail yang meninggal dunia malam tadi.

Pesuruhjayanya, Ahmad Yahaya berkata, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Klang selepas mengalami kegagalan buah pinggang dan meninggal dunia pada jam 10.50 malam.

Menurutnya, ketika hayatnya, Allahyarham sangat istiqamah dalam memberikan khidmat baktinya dan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar terhadap jemaah dan ummah.

“Allahyarham pernah memegang jawatan Setiausaha Majlis Muassasah Darul Ulum pada 2007-2011, Speaker DUN Kedah (2008-2013), Pengerusi Majlis Kolej Islam Darul Ulum (2011-2015) dan Yang Dipertua Pas Kawasan Kubang Pasu,” katanya.

Abdul Isa juga pernah menjadi calon Pas bagi Parlimen Kubang Pasu dan jawatan terakhirnya adalah AJK Lajnah Politik Pas Kedah.

“Sebelum itu Allahyarham adalah pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pengarah Institut Pemikiran Datuk Fadzil Mohd Noor. Allahyarham kaya dengan pengalaman dan mempunyai buah fikiran bernas, jasa baktinya tidak ternilai besarnya,” katanya.

Sementara itu Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Syeikh Mohd Rodi Abdul Rahman berkata, solat jenazah Abdul Isa disempurnakan di Shah Alam pagi tadi.

“Dewan Ulama Pas Kedah turut mengadakan solat jenazah ghaib pagi tadi secara serentak di kediaman masing-masing. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama para syuhada,” katanya.

Artikel Berkaitan: