Kes jenayah di Kedah menurun sepanjang PKP

Anggota polis dan tentera ketika melakukan pemantauan di sekatan jalan raya sekitar Alor Setar. -Foto ihsan Polis Kedah
Anggota polis dan tentera ketika melakukan pemantauan di sekatan jalan raya sekitar Alor Setar. -Foto ihsan Polis Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Kes jenayah di Kedah menunjukkan trend penurunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, penurunan yang direkodkan adalah sebanyak 57 kes atau -26.69 peratus sepanjang tempoh dua minggu terbabit berbanding tempoh 3 hingga 17 Mac lalu.

Menurutnya, jenayah kekerasan menunjukkan penurunan sebanyak lima kes, manakala jenayah harta benda sebanyak 52 kes.

“Peratusan penurunan kes jenayah adalah 81.64 peratus bagi kes kecurian kereta, kes rogol (100 peratus) manakala kes kecurian motosikal (-36.36 peratus),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zainuddin berkata, bagaimanapun kes samun meningkat satu kes bersamaan 33.33 peratus, iaitu tiga kes bagi tempoh 3 hingga 17 Mac, manakala empat kes sepanjang 18 Mac hingga 1 April.

“Berdasarkan statistik, kes jenayah keganasan rumah tangga berlaku peningkatan membabitkan kes ugutan jenayah melibatkan pasangan suami isteri dan ahli keluarga,” katanya.

Sementara bagi Op Covid-19, polis Kedah melakukan tangkapan seramai 407 orang, kebanyakan melibatkan kes pelanggaran PKP dan disiasat bawah Akta 432 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Penyakit Berjangkit Tempatan) 2020 dalam tempoh kajian (18 Mac-1 April).

“Seramai 144 pesalah dituduh di mahkamah melibatkan 56 kes bagi kesalahan ingkar PKP manakala selebihnya bagi lain-lain kesalahan jenayah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zainuddin turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi PKP fasa dua agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan dalam tempoh lanjutan.

“Orang ramai juga diingatkan supaya lebih peka dan waspada dalam menjaga harta benda, keselamatan dan kesihatan diri selain sentiasa mematuhi PKP,” katanya.