PRK Dun Semenyih: BN perlu calon pilihan rakyat

Mohd Imran
Mohd Imran
A
A
A

SABAK BERNAM - Umno perlu bersedia berubah dan mengambil semangat PRK Parlimen Cameron Highlands yang menampilkan calon pilihan rakyat.

Adun Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, kriteria pemilihan calon seperti yang berlaku di Parlimen Cameron Highlands perlu dikekalkan bagi memastikan BN kembali merampas Dun berkenaan.

Menurutnya, parti itu perlu bersedia menerima calon dikehendaki rakyat dan bukan calon yang diingini parti.

"Kita harus dengar suara rakyat di luar sana untuk memastikan kemenangan di Dun Semenyih," katanya.

Mohd Imran yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Sungai Besar berkata, calon yang ditampilkan mestilah mampu memenangi hati rakyat.

"Tentunya kita berharap calon muda dan baru yang boleh memberi kesegaran dalam Umno," katanya.

Ujar beliau, Umno perlu mengambil kira bahawa calon yang mewakili BN dalam PRK Dun itu juga mestilah boleh bekerjasama dan disenangi Pas.

"Saya difahamkan, Pas tidak meletakkan calon pada PRK Dun Semenyih dan perlu adanya kerjasama dengan jentera Pas untuk memenangkan calon BN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerusi Dun Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, Jumaat lepas.

Pada PRU14 lalu, Allahyarham yang mewakili PPBM menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8, 964 undi.