Ingkar PKP: Empat pemuda Indonesia didenda RM600

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR – Seramai empat pekerja kontrak warganegara Indonesia didenda RM600 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini, kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis, minggu lalu.

Keputusan dibuat selepas tertuduh Abdul Halim Saiful Arifin, 40; Bidawi Ali, 45; Rasban Sali, 54, dan Sugeng Teriman, 54, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati bergerak dari satu kawasan berjangkit ke kawasan lain yang diwartakan dengan tujuan bukan dalam mana-mana perkara yang diperuntukkan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Taman Mulia Jaya, Ampang pada jam 1.45 petang, 26 Mac lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Artikel Berkaitan:


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene.

Rasban dan Sugeng diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) manakala dua tertuduh lain tidak diwakili peguam.