Pakej Prihatin: Jangan tunggu akhir April

Orang ramai dilihat membeli barangan keperluan harian seperti biasa susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. -Foto Bernama
Orang ramai dilihat membeli barangan keperluan harian seperti biasa susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan memuji pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang merangkumi keperluan seluruh rakyat yang ketika ini terkesan akibat wabak koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Bagaimanapun persatuan itu menggesa bantuan berkenaan dapat disalurkan segera tanpa perlu menunggu sehingga akhir April kerana ramai golongan muda B40 tidak memiliki banyak simpanan untuk menyelesaikan komitmen mereka.

Presidennya, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, MAYC Kebangsaan turut berterima kasih kepada kerajaan dengan memperkenalkan Program Subsidi Upah bagi membantu majikan yang terjejas ketika ini.

“MAYC Kebangsaan juga berpendapat kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia perlu lebih prihatin kepada nasib golongan muda yang mungkin berhadapan dengan risiko dibuang kerja atau diberikan cuti tanpa gaji,” katanya hari ini.

Tambah beliau juga, pihak kerajaan perlu memastikan majikan tidak dengan sewenang-wenangnya memberhentikan pekerja mereka.

Katanya, MAYC Kebangsaan turut menghargai usaha kerajaan dan Bank Negara Malaysia memberikan moratorium selama 6 bulan kepada peminjam bank.

Mohd Syahbuddin turut mencadangkan golongan muda yang mahu membuat pinjaman bagi memulakan perniagaan dalam tempoh Covid-19 dan krisis ekonomi ini dipermudahkan tanpa perlu melihat kepada sejarah panjang perniagaan mereka sebelum ini.

Selain itu katanya, sukarelawan MAYCare di seluruh bersedia membantu kerajaan menangani krisis Covid-19 ketika ini tetapi mereka terpaksa akur kerana menghormati PKP.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga turut mencadangkan kerajaan dapat memperbanyakkan kempen kesedaran mengenai kebersihan dan kesihatan pasca krisis Covid-19 ini selain mahu golongan muda mengambil iktibar daripada penularan Covid-19.

“MAYC Kebangsaan bersedia untuk berganding bahu bersama kerajaan bagi mempersiapkan generasi masa hadapan negara yang lebih berilmu dan bermaklumat,” katanya.