121 rakyat Malaysia kandas di Arab Saudi dalam keadaan baik

Abd Razak Abdul Wahab
Abd Razak Abdul Wahab
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi berikutan langkah pencegahan koronavirus (Covid-19), berada dalam keadaan baik dan Kedutaan Malaysia sedang berusaha untuk membawa mereka pulang.

Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Abd Razak Abdul Wahab berkata, kedutaan di Riyadh dan Konsulat Jeneral di Jeddah sentiasa berhubung dengan kumpulan itu.

Menerusi e-mel kepada Bernama, beliau berkata, mereka yang terkandas terdiri 34 rakyat Malaysia memiliki visa jangka pendek atas urusan perniagaan, melancong dan Umrah, manakala 87 lagi melawat keluarga di Arab Saudi, sebahagian mereka ingin pulang ke Malaysia.

Duta itu berkata, berdasarkan hubungan diplomatik yang baik antara Kuala Lumpur dan Riyadh, kedutaan yakin kerajaan Saudi dan pihak berkuasanya akan memberikan kerjasama untuk membawa pulang rakyat Malaysia.

Menurutnya, kedutaan dan Konsulat Jeneral turut menghubungi kira-kira 8,000 rakyat Malaysia yang tinggal di negara ini, kebanyakannya bekerja dalam pelbagai industri termasuk telekomunikasi, perkhidmatan penjagaan kesihatan serta di sektor minyak dan gas.

Kedutaan juga berhubung dengan wakil pelajar untuk mengetahui perkembangan terkini penuntut Malaysia yang berada di Arab Saudi.

Kata Abd Razak, kehidupan seharian komuniti Malaysia di Arab Saudi berjalan seperti biasa, keperluan harian masih banyak dan mudah didapati.

Sejak 23 Mac lalu, Arab Saudi mengenakan perintah berkurung bermula 3 petang hingga 6 pagi.

Artikel Berkaitan:

Hanya perniagaan penting seperti pasar raya besar, farmasi dan restoran (perkhidmatan pembungkusan dan penghantaran) dibenarkan beroperasi.

Menurut Johns Hopkins University, Arab Saudi mempunyai lebih 1,700 kes Covid-19 dengan 16 kematian. - Bernama