Rugi lebih RM14,000 beli topeng muka

Nor Omar turut memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di KM20 Jalan Sitiawan-Ipoh berhampiran Changkat Cermin di sini hari ini.
Nor Omar turut memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di KM20 Jalan Sitiawan-Ipoh berhampiran Changkat Cermin di sini hari ini.
A
A
A

AYER TAWAR - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima 12 laporan berhubung kes penipuan penjualan topeng muka di Facebook.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kes tersebut dilaporkan dalam tempoh 3 Februari hingga 1 April 2020 melibatkan kerugian sebanyak RM14,168.

Menurutnya, kesemua pembayaran dibuat oleh mangsa ke dalam 12 akaun berbeza.

"Modus operandi kes ini, suspek akan mengiklankan penjualan topeng muka melalui media sosial iaitu Facebook untuk memperdaya mangsa yang mana item diiklankan sebenarnya tidak wujud.

"Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Manjung telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops Covid-19 Daerah Manjung di KM 20, Jalan Sitiawan-Ipoh berhampiran Changkat Cermin di sini hari ini.

Menurutnya, kebanyakan mangsa berumur 18 hingga 50 dan pembelian topeng muka itu dibuat untuk kegunaan sendiri.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat mengenai kes tersebut dan siasatan masih diteruskan.

Dalam perkembangan lain, Nor Omar berkata, seramai 64 individu ditangkap sepanjang pelaksanaan PKP di daerah Manjung sejak hari pertama.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah itu, 39 orang telah dituduh di bawah pelbagai kesalahan dan dikenakan hukuman denda di antara RM500 hingga RM1,000 selain penjara antara 10 hari hingga dua bulan.

Sementara itu, seramai 410 anggota terlibat dalam penugasan Op Covid-19 di daerah Manjung yang terdiri daripada anggota polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Sukarelawan Simpanan Polis.