200,000 topeng muka mula diedar ke pejabat ADUN Pulau Pinang

Kon Yeow (kiri) menerima menerima sumbangan sarung tangan getah daripada syarikat pengeluar sarung tangan getah utama dunia, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove).
Kon Yeow (kiri) menerima menerima sumbangan sarung tangan getah daripada syarikat pengeluar sarung tangan getah utama dunia, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove).
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 200,000 topeng muka akan diserahkan kepada semua pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang bermula minggu ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, stok tempahan 6 juta keping topeng muka yang ditempah kerajaan Pulau Pinang sebelum ini telah tiba secara berperingkat.

Menurutnya, susulan itu, ia akan diedarkan di semua pejabat ADUN, pejabat daerah, agensi Persekutuan yang merupakan barisan hadapan (frontliners) dalam 'pertempuran' melawan wabak koronavirus (Covid-19).

"Bagi rakyat Pulau Pinang, ADUN kawasan masing-masing akan mengedarkan kepada mereka yang memerlukan dari semasa ke semasa mengikut stok yang diterima.

"Pada minggu hadapan juga, apabila stok fasa kedua sampai, pengedaran akan dibuat secara adil dengan memberi keutamaan kepada barisan hadapan dan juga komitmen kerajaan negeri kepada golongan rakyat yang memerlukan," katanya pada sidang akhbar menerusi Facebook Live di Komtar di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM60,000 bagi pembiayaan kos penghasilan 2,000 pelindung muka (face shield) yang dicipta sekumpulan jurutera dari pembangunan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

"Bakat mereka diasah menerusi jaringan platform STEM hasil inisiatif kerajaan negeri. Oleh itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM60,000 untuk membiayai kos penghasilan 2,000 pelindung muka setiap hari untuk sebulan. Ini adalah bagi menampung penggunaan produk berkaitan di semua hospital serta klinik kerajaan di Pulau Pinang.

"Pelindung muka itu diiktiraf daripada pakar perubatan di Hospital Pulau Pinang yang mana ia lebih selamat, selesa dipakai, murah dan lebih mudah untuk dihasilkan. Oleh itu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang menderma sama ada wang, barangan atau kelengkapan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, peratus pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang sehingga semalam mencecah 95 peratus.

"Saya percaya kita boleh mempertingkatkan lagi pencapaian kita dan mencapai 100 peratus. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan memaklumkan bahawa tangkapan terhadap individu yang ingkar PKP masih dijalankan.

"Selain itu, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga masih menjalankan tindakan penutupan premis perniagaan terhadap pemilik yang gagal mematuhi arahan PKP," katanya.