Kabinet setuju tukar kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Nama Kementerian Alam Sekitar kini dikenali sebagai Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA).

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini berkata, penjenamaan semula berkenaan dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April lepas.

“Penjenamaan ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk memberi tanggungjawab pengurusan air negara kepada MEWA yang turut bertanggungjawab dalam melestarikan alam sekitar.

“Pewujudan MEWA akan membolehkan sinergi antara dua aspek pengurusan air yang selama ini terpisah, iaitu sumber air dan perkhidmatan air.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab terhadap sumber air, sementara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertanggungjawab mengawal selia perkhidmatan air yang melibatkan bekalan air dan pembetungan," katanya.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, kedua-dua fungsi itu disepadukan di bawah MEWA bagi memantapkan ekosistem tadbir urus air di negara ini bagi memastikan sumber dan bekalan air yang mencukupi dan berkekalan serta akan mengintegrasikan sektor alam sekitar dan air.

"MEWA juga bertanggungjawab terhadap isu perubahan iklim, bio keselamatan dan juga memacu pertumbuhan ekonomi hijau.

"Tumpuan juga akan diberikan kepada pendidikan dan kesedaran awam serta pembudayaan tentang kepentingan alam sekitar dan air," katanya.

Artikel Berkaitan: