Polis pantau proses pulang warga Indonesia

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis memantau warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal menerusi Jeti Feri Stulang Waterfront (JFSW) di sini dan Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) di Pontian agar semua mengikut peraturan ditetapkan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lpihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam memastikan tidak berlaku kesesakan luar biasa seperti sebelum ini dan semuanya mengikut peraturan serta proses pulang berjalan lancar serta selamat.

"Pemantauan yang dijalankan mendapati sistem yang lebih teratur contohnya amalan penjarakan sosial seperti saranan pihak Kementerian Kesihatan telah dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, ribuan warga Indonesia terkandas di dua terminal berkenaan hingga mengakibatkan kesesakan berikutan trip perjalanan dihadkan termasuk kapasiti penumpang dikurangkan supaya tidak berlaku kesesakan dalam feri.

Semalam Kementerian Luar menafikan dakwaan Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care) bahawa kerajaan Malaysia mengusir rakyat negara itu secara besar-besaran sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, dalam perkembangan membabitkan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Ayob Khan berkata, bekalan makanan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang sudah diberikan kepada semua penduduk termasuk pekerja warga asing di kawasan ladang.

Dalam pada itu, beliau berharap penduduk Johor akan lebih mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua dalam bulan ini dan tindakan lebih tegas akan dikenakan sekiranya masih ingar.

"Seramai 74 individu ditahan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ingkar PKP di negeri ini berjumlah 685 dan daripada jumlah itu 165 pesalah sudah didakwa di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Tambah beliau, sesiapa melakukan kesalahan tidak mematuhi perintah mana-mana pegawai yang diberikan kuasa boleh disabit mengikut Seksyen 24 Akta 342 dan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.