Terengganu banteras rasuah di kalangan penjawat awam

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KEMAMAN - Kerajaan Terengganu komited untuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada laporan penglibatan rasuah dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia sebagai satu penegasan dan inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikan pentadbirannya bersih, berintegriti dan sifar gejala rasuah.

"Sudah tentu menjadi hasrat kita untuk meningkatkan integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri dan seperti yang kita tahu pihak berkuasa membuat siasatan mengikut laporan yang dibuat (isu rasuah).

"Kita sangat terbuka dengan pihak SPRM dalam hal ini, bagi memastikan pertadbiran kita bersih dan berintegriti (daripada gejala rasuah)," katanya kepada pemberita selepas majlis menamakan dewan Darul Iman Training Centre (DITC) kepada Dewan Datuk Seri Tuan Guru, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Shuhaimi Embong.

Beliau turut diminta mengulas isu pertukaran 95 pegawai tadbirnya berkuat kuasa esok (16 Januari) susulan isu rasuah melibatkan seorang pegawai daerah di negeri ini.

Bagaimanapun, Adun Rhu Rendang itu menafikan pertukaran disebabkan isu rasuah sebaliknya hanya pertukaran biasa disebabkan ada di antara pegawai yang akan bersara.

"Ia tiada kaitan dengan kes itu kerana ia datang kemudian (kes rasuah) pertukaran itu adalah biasa akan ada lagi pertukaran melibatkan pegawai-pegawai tadbir pada Mei dan Jun nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, seorang pegawai daerah di Terengganu direman enam hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes tuntutan palsu bernilai RM500,000 tahun lalu.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri hanya akan mengumumkan keputusan mengenai isu tarif air setelah beberapa perkara yang dibincangkan bersama kerajaan pusat mencapai kata sepakat.

"Setakat ini, kita belum ada keputusan sama ada akan ada kenaikan...kerajaan negeri sedang mendapatkan 'feedback' daripada pihak kementerian.

"Masih ada beberapa perkara yang belum mencapai kata putus dan akan diberi tahu bila masa sesuai," katanya. - Bernama