Negara hilang berbilion ringgit kerana perdagangan haram: RTBA

Heath Michael
Heath Michael
A
A
A

KUALA LUMPUR – Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan (RTBA) mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap perdagangan haram yang mengakibatkan negara kehilangan pendapatan berbilion ringgit.

Pengarah Urusan RTBA, Heath Michael berkata, tindakan tegas itu perlu diambil bagi membolehkan kerajaan menebus kembali wang yang telah lesap dan membolehkan ia disalurkan kepada usaha pemulihan ekonomi ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Pandemik Covid-19 diburukkan lagi dengan penurunan harga minyak mentah dan kejatuhan harga komoditi serta sekatan-sekatan perdagangan memberi impak buruk ke atas ekonomi global dan serantau.

"Setiap ringgit amat bernilai di dalam usaha pemulihan dan langkah radikal diperlukan daripada kerajaan.

“Ini menjadi lebih penting memandangkan perolehan cukai kepada nisbah KDNK di Malaysia telah menurun secara progresif daripada 15.6 peratus pada 2012 kepada 12 peratus pada 2018 dan 11.8 peratus pada Januari hingga September 2019,” katanya dalan satu kenyataan di sini hari ini.

Michael berkata, berdasarkan kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ekonomi gelap Malaysia mewakili 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dianggarkan berjumlah RM300 bilion setahun.

Ujar beliau, perdagangan haram membentuk bahagian terbesar di dalam ekonomi gelap itu.

“Dibandingkan dengan negara-negara yang berhampiran, ekonomi gelap Malaysia lebih menggerunkan.

Artikel Berkaitan:

“Kajian menunjukkan usaha menjejak aktiviti jenayah ini boleh menebus kembali berbilion ringgit kepada kerajaan,’’ kata beliau.

Menurut Kertas Kerja Tabung Kewangan Antarabangsa, nisbah purata Malaysia semasa tempoh 1991-2015 adalah 31.5 peratus – lebih tinggi berbanding Singapura (11.9 peratus), Australia (12.1 peratus), China (14.7 peratus), Hong Kong (14.7 peratus), Vietnam (18.7 peratus), India (23.9 peratus), Indonesia (24.1 peratus) dan Korea Selatan (25.7 peratus).

Dalam pada itu, Micheal berkata, strategi menang segera perlu dilakukan supaya kerajaan dapat menutup kegiatan perdagangan haram itu.

Jelasnya, ia merangkumi dasar-dasar yang menangani faktor permintaan dan bekalan, penguatkuasaan sempadan yang lebih tegas dan meningkatkan kolaborasi di peringkat intra-serantau.

"Waktu-waktu sebegini memberi peluang terbaik untuk negara-negara saling bekerjasama bagi menyokong dan membina semula ekonomi,” ujar beliau.

RTBA merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengawal selia perniagaan daripada kegiatan jenayah.

Mereka mendefinisikan dagangan haram meliputi aktiviti penyeludupan, pemalsuan produk dan mengelak cukai yang mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil cukai, menjejaskan perniagaan sah dan konsumer terdedah kepada produk-produk tidak teratur atau tidak selamat.

Produk-produk itu termasuk barangan mewah tiruan atau diseludup, produk elektronik, minuman alkohol dan rokok yang biasanya dijual secara tidak sah di pasaran gelap.

Dalam usaha membantu pembaharuan dasar dan inisiatif-inisiatif proaktif bagi melindungi perniagaan dan peruncit sah di seluruh rantau ini daripada penjenayah dan dagangan haram, RTBA akan meluaskan kehadirannya dengan membuka pejabat serantau di negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia.