ILKKM Johor Bahru jadi hospital sementara Covid-19

Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Johor Bahru dijadikan hospital sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 yang mempunyai simptom gejala ringan. (gambar kecil: R Vidyananthan)
Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Johor Bahru dijadikan hospital sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 yang mempunyai simptom gejala ringan. (gambar kecil: R Vidyananthan)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Johor Bahru dijadikan hospital sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 yang mempunyai simptom gejala ringan.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah pun memulakan operasi di hospital sementara itu berkuat kuasa semalam.

"Institut ini boleh menempatkan seramai 600 pesakit. Kerajaan negeri akan komited untuk terus bersiap siaga menghadapi kes Covid-19 di negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang dijadikan sebagai hospital Covid-19 di negeri ini berikutan peningkatan kes wabak berkenaan terutama di daerah itu.

Hospital Permai di sini pula dijadikan hospital utama bagi merawat kes positif Covid-19 di negeri ini sejak pertengahan Februari lalu.

Vidyananthan berkata, JKNJ sehingga semalam melaporkan penambahan 19 kes baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah sebanyak 368 kes setakat ini tetapi tiada kes kematian baharu direkodkan di Johor semalam.

"Saya juga mendapati bahawa purata peratusan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Johor pada 1 April 2020 adalah sebanyak 97.02 peratus, berlaku peningkatan berbanding sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, kerajaan negeri sudah mengagihkan penghantaran kit makanan ke-11 lokasi yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Johor.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, agihan dilakukan di Kampung Parit Ghani, Kampung Parit Talibek, Kampung Parit Basri, Kampung Ibrahim Majid, Bandar Baru Ibrahim Majid, Kampung Parit Salman, Kampung Parit Penghulu, Kampung Parit Hasan, Taman Desa, Kampung Parit Salam dan Kampung Paya.