X

Kindly register in order to view this article
!

Cabaran menghadapi Covid-19 bersama anak autisme

Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Che Ann
A
A

PENULARAN wabak Covid-19 telah bermula dari bulan November 2019. Ketika itu, Malaysia belum mengambil langkah drastik seperti yang berlaku sekarang. Pada waktu itu, stres memenuhi masa anak-anak autisme tidak dirasai kerana masih banyak aktiviti yang boleh dilakukan.

Kehidupan masih berjalan seperti biasa dan anak-anak autisme masih boleh mengikuti rutin mereka. Akur kepada rutin adalah satu ciri klasik autisme dan kitaran rutin ini tidak boleh terungkai kerana ia akan mengakitbatkan anak-anak autisme buntu, hilang fokus dan akan membawa kepada masalah tingkah laku.

Apakah yang berlaku kepada mereka sekarang ini, ketika mereka juga diperintah berkurung bersama-sama ahli keluarga, tidak boleh ke mana-mana, tidak ada rutin dan tidak ada aktiviti bermakna di rumah? Adakah mereka dibekalkan dengan aktiviti berguna oleh pihak guru, atau adakah ibubapa mereka mengulangkaji dan mempraktikkan apa yang telah di ajar oleh guru-guru pendidikan khas (PK)?

Anak-anak autisme memerlukan aktiviti ulangan (repetition), generalisasi (generalization) dan aplikasi (application) untuk mendalami apa yang telah mereka pelajari di kelas pendidikan khas (PPKI). Sekiranya, semua rutin mereka berhenti serta-merta dan dalam jangkamasa yang lama; guru, ibu bapa dan anak autisme akan menghadapi kesulitan memulakannya apabila tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tamat.

Jumlah pelajar berkeperluan khas sekolah menengah dan rendah adalah 72,010 (JPK, 2019) manakala jumlah anak autisme bersekolah khususnya ialah 11,546. Bayangkanlah, angka ibu bapa yang tertekan dengan fenomena ini amat tinggi. Ini tidak termasuk jumlah anak-anak autisme yang tidak bersekolah dan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penjelasan tentang Covid-19

Covid-19 adalah sejenis virus dan ia tidak kelihatan dengan mata kasar. Menjelaskan virus kepada anak autisme adalah satu perkara yang sulit kerana ia bukan satu yang konkrit, dan tidak boleh dijelas mengguna pendekatan imaginasi.

Oleh itu setiap hari, saya membawa anak saya Yuri Azzari (29 tahun) melihat YouTube, menonton berita di TV, bercerita tentang Covid-19, dan menunjuk gambar-gambar lakaran Covid-19 untuk beliau memahami virus.

Setelah seminggu melakukan aktiviti ini, beliau telah faham bahawa Covid-19 boleh menyebabkan kita sakit, masuk hospital dan mungkin mati.

Di samping itu, kami sekeluarga mengguna topeng apabila keluar, mengguna sanitizer dan mandi sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, termasuklah beliau juga. Saya tekankan “virus, dangerous” setiap kali selepas melakukan aktiviti riadah di sekeliling rumah. Barulah sekarang, saya lihat dia mula memahami apa itu PKP dan apa itu Covid-19.

Apa yang boleh dilakukan untuk anak autisme ketika Covid-19.

Terdapat pelbagai tips di laman-laman web antarabangsa seperti Autism Speaks, Autism Society dan National Autism Society tentang cara menghadapi tingkah-laku anak-anak autisme menghadapi melalui tempoh PKP. Antaranya ialah:

  • 1. Meneruskan jadual pelajaran di sekolah seperti belajar Matematik, Sains, melukis, menyanyi.
  • 2. Meningkatkan aktiviti fizikal seperti bermain badminton, piano atau bola keranjang.
  • 3. Memberi kemahiran hidup seperti membasuh piring, membasuh baju, memotong sayur, atau mengemas tempat tidur.
  • 4. Membaca dan menulis cerita berkaitan PKP dan Covid-19.
  • 5. Perbanyakkan aktiviti keluarga (family-based) seperti permainan Snake and Ladder, Monopoly dan Happy Families.
  • 6. Sediakan jadual aktiviti untuk seminggu dan ulangi aktiviti ini.

Kesabaran dan tolak-ansur di antara ahli keluarga dan adik-beradik anak autisme adalah sangat penting di waktu mencabar ini. Sentiasa ikuti maklumat terdapat di Facebook dan laman web berkaitan kerana terdapat banyak perkongsian dari keluarga yang senasib. Langkah ini akan mengurang stres dan kesepian di kalangan ibu bapa anak autisme.

***Dr. Che Ann Abdul Ghani (Communication Disorder in Autism) Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Inggeris, Universiti Putra Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf