General Ematt meninggal dunia akibat Covid-19

Kiriman Instagram milik Gabrielle Rogers.
Kiriman Instagram milik Gabrielle Rogers.
A
A
A

PELAKON Hollywood, Andrew Jack yang dikenali dengan watak General Ematt menerusi filem Star Wars meninggal dunia pada usia 76 tahun akibat jangkitan koronavirus (Covid-19).

Menurut agensi berita AP, Jill McCullough yang mewakili pelakon itu berkata, Jack meninggal dunia di sebuah hospital di Surrey, United Kingdom (UK) pada hari Selasa.

“Jack bekerja sebagai jurulatih dialek dan pernah tinggal di dalam rumah bot Thames. Mendiang seorang yang berdikari dan sangat mencintai isterinya,” kata McCullough.

Pada masa yang sama, isteri mendiang, Gabrielle Rogers menerusi Instagram miliknya mengesahkan bahawa Jack telah disahkan positif COVID-19 sejak dua hari lalu.

Sepanjang kariernya, beberapa siri dalam filem telah dibintangi beliau termasuk 'Star Wars: Episode VIII – The Last Jedi', 'Solo: A Star Wars Story' dan 'Star Wars: Episode VII – The Force Awakens'.

Robert Downey Jr dan Chris Hemsworth merupakan antara pelakon yang pernah menjalani latihan dialek bersamanya.

Sebelum ini, Mark Blum, 69, yang pernah membintangi filem 'Desperately Seeking Susan', 'Crocodile Dundee' dan terbaharu siri TV 'YOU', meninggal dunia di Hospital New York Presbyterian selepas didiagnosis dijangkiti virus yang sama.

Sementara itu, pelakon terkemuka Hollywood Idris Elba, Tom Hanks dan isterinya Rita Wilson turut mengesahkan mereka positif jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Link Instagram: https://www.instagram.com/p/B-YrwtKnyXS/