Tiada bazar Ramadan, Aidilfitri di Kedah tahun ini

Mukhriz (tengah) ketika bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini petang tadi.
Mukhriz (tengah) ketika bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini petang tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada penganjuran bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah tahun ini sebagai langkah membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan membatalkan dua bazar itu selepas Mesyuarat Exco hari ini untuk mengelakkan rakyat daripada berhimpun secara beramai-ramai di sesuatu kawasan yang memungkinkan risiko penularan Covid-19.

"Untuk itu, kita berharap PBT yang telah mengambil deposit daripada peniaga supaya memulangkan balik wang berkenaan kepada mereka nanti," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mukhriz berkata, Skim Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik kerajaan negeri turut ditangguh pembayarannya selama enam bulan bermula hari ini (1 April) hingga 30 September depan.

"Selain itu, kita turut memutuskan bahawa bayaran sewa Skim PPR Transit dan Sewa Kedai seliaan Bahagian Perumahan dikecualikan selama enam bulan," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, sebuah badan baharu iaitu Badan Penilaian Pemprosesan Operasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut ditubuhkan untuk memantau dan menilai operasi di kilang-kilang PKS sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan: