X

Kindly register in order to view this article
!

Main bola lagi, RM1,000 melayang ingkar PKP

Kesemua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku salah melanggar arahan PKP.
A
A

MELAKA TENGAH - Tindakan tiga lelaki warga Nepal bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain bola sepak, malah turut minum minuman keras mengundang padah apabila didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh iaitu Limbu Purna Bahdur, 44, Sarki Durga Bahadur, 33, dan Tamang Punya Prasad,39, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu.

Muhammad Nazrin Ali juga mengarahkan kesemua tertuduh dirujuk kepada jabatan imigresen untuk tindakan susulan.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didapati bersalah melanggar arahan PKP ketika berada di padang awam Taman Seri Krubon Melaka, jam 5.30 petang pada 29 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh dihadapkan di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dengan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah 7(1) peraturan yang sama.

Warga Nepal didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh kerana ingkar PKP dengan bermain bola sepak dan minum minuman keras.
Warga Nepal didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh kerana ingkar PKP dengan bermain bola sepak dan minum minuman keras.

Mereka juga boleh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, malahan masyarakat terutamanya golongan warga asing.

Mahkamah kemudian memutuskan hukuman denda RM1,000 bagi setiap seorang atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya bersetuju untuk membayar denda berkenaan.

Di mahkamah sama, seramai 14 lelaki termasuk tiga warga asing dan seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah melanggar PKP selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Kesemua mereka berusia 20 hingga 50 tahun itu didenda dari RM500 hingga RM1,000 dan jika gagal membayar denda berkenaan akan dipenjara satu bulan dan empat bulan sementara remaja berkenaan didenda RM500.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut tanpa alasan munasabah dalam tempoh PKP susulan penularan wabak Covid-19 di sekitar Melaka Tengah termasuk Krubong, Paya Rumbut, Jalan Melaka Raya, Kampung Paya Ikan dan Bukit Rambai antara jam 12.15 tengah hari dan 10.25 malam pada 28 Mac dan 31 Mac lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus