Bantuan fasa pertama untuk mereka yang benar-benar perlu

Mohd Amar (kiri) semasa menerangkan kepada media bagaimana agihan bantuan dilakukan kerajaan negeri.
Mohd Amar (kiri) semasa menerangkan kepada media bagaimana agihan bantuan dilakukan kerajaan negeri.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan memaklumkan penerima bantuan fasa pertama dari kerajaan negeri melibatkan golongan yang benar-benar memerlukan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ada pihak masih tidak jelas mengenai perkara tersebut sehingga timbul isu mengatakan bahawa kerajaan negeri tidak adil dalam pembahagian sumbangan itu.

Katanya, penghulu telah melakukan kerja mereka sebaik mungkin dan bertanggungjawab ke atas anak-anak mukim mereka berdasarkan senarai yang mereka ada.

“Arahan kita (kerajaan) ialah bagi pada orang yang benar-benar terdesak dahulu. Mereka itu ialah orang yang tidak boleh keluar dan tiada duit. Ini yang jadi keutamaan, manakala minggu kedua ini mungkin lain pulaklah.

“Sebab itu bukan semua orang dapat (fasa pertama). Sepatutnya kita tengok dulu. Contohnya banjir yang mana tidak boleh keluar, kita utamakan dahulu. Memang setiap penghulu ada senarai mereka dan jumlahnya tidak sama untuk setiap mukim.

“Orang tidak faham, bukan semua orang akan dapat (fasa pertama). Kalau ada yang tercicir, boleh jumpa penghulu supaya dapat dimasukkan dalam senarai untuk kita bagi bantuan. Jiran kiri kanan pun pakat-pakat tengok dan bantu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri di JKR 10 di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (Maik) juga sudah menyalurkan sebanyak RM1 juta untuk membantu golongan fakir miskin.

Beliau berkata, malah kerajaan negeri juga sudah menyediakan peruntukan RM20,000 lagi tambahan untuk sumbangan fasa kedua.

Artikel Berkaitan:

“Antara sumbangan yang kita bagi adalah makanan keperluan asas seperti beras, gula, minyak, gandum dan telur. Beras kita bagi lima kilogram dulu. Selepas ini kita tengok balik (penambahannya).

“RM20,000 ini duit kerajaan, tidak termasuk dengan duit yang diberikan kerajaan persekutuan. Itu belum usik lagi, kalau tidak cukup nanti baru kita ambil,” katanya.