Ribut: Lapan rumah, sebuah sekolah rosak

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Lapan rumah dan sebuah sekolah di sekitar kawasan Taman Lapangan Jaya di sini, rosak akibat ribut yang melanda petang semalam.

Adun Sungai Rapat ,Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kebanyakan rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan sengkuap hias dengan nilai kerosakan lebih RM10,000 manakala bumbung zink Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Jaya pula tercabut.

"Kerosakan ini yang mana boleh dibaiki, kita akan baiki, manakala yang memerlukan khidmat lebih daripada itu kita akan pastikan ada kumpulan yang membantu untuk tampung kos membaiki," katanya kepada pemberita ketika melawat rumah yang rosak di Taman Lapangan Jaya di sini hari ini.

Mohammad Nizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri berkata pihaknya sedang berusaha memastikan penduduk yang terjejas menerima bantuan bencana alam.

Dalam pada itu, seorang penduduk Maznah Maniamin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, berlaku hujan lebat dan angin kencang sehingga menerbangkan sengkuap hias rumahnya sejauh 50 meter.

"Masa kejadian saya tiada di rumah, hanya ada dua anak di dalam rumah. Mereka (anak) kata angin kuat telah menerbangkan sengkuap hias dan kemudian hujan lebat masuk ke rumah hingga menyebabkan beberapa perabot rosak,” katanya.

Kawasan berkenaan sering dilanda angin ribut dan kali terakhir berlaku empat bulan lepas tetapi tidak seteruk kali ini, katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: