Mengejutkan, 68, 321 pelajar sekolah menengah merokok!

dzulkefly
A
A

Mengejutkan! seramai 68, 321 pelajar sekolah menengah dikesan merokok melalui saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peratusan pelajar sekolah menengah merokok berkenaan adalah bersamaan 3.7 peratus daripada 1.9 juta pelajar sekolah yang disaring dalam program KOTAK 2018.

Sementara itu menurutnya, KKM juga mengesan sebanyak 1,095 bilangan perokok dalam kalangan murid sekolah rendah bersamaan 0.04 peratus daripada sebanyak 2.5 juta murid sekolah rendah yang disaring dalam program KOTAK 2018.

"Melalui program KOTAK ini, bilangan (pelajar sekolah menengah) yang menjalani rawatan adalah seramai 58, 050 atau bersamaan 84.9 peratus.

"Manakala, bagi murid sekolah rendah yang merokok, seramai 948 murid bersamaan 86.6 peratus telah menjalani rawatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Dzulkefly berkata, dalam isu murid dan pelajar sekolah merokok ini, KKM berperanan dari segi penguatkuasaan serta saringan dan intervensi.

Menurutnya, bagi penguatkuasaan di dalam sekolah, kerjasama dibuat dengan pihak sekolah, manakala penguatkuasaan di luar sekolah adalah dilaksanakan sepenuhnya oleh pegawai diberi kuasa KKM.

"Melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), Orang Belum Dewasa (OBD) di bawah 18 tahun yang merokok, mengunyah, membeli atau mempunyai milikannya apa-apa hasil tembakau adalah dilarang.

"Pada tahun 2017, KKM telah mengeluarkan sebanyak 258 notis kesalahan di bawah peraturan ini dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM15,200.

KKM juga melaksanakan aktiviti saringan dan rawatan yg dilaksanakan oleh Pasukan Pergigian sekolah di seluruh Malaysia.

"Aktiviti saringan Pasukan Pergigian ini diselaraskan dengan aktiviti penguatkuasaan dan pihak kaunselor di sekolah,"katanya.