Polis tahan lelaki miliki 43.91g dadah

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama 43.91 gram dadah pelbagai jenis dan 22 biji pil Eramin 5 dianggarkan bernilai RM5,200 di Jalan Merlimau, Endau, dekat Mersing, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata lelaki berumur lingkungan 30-an dan sedang menunggang motosikal itu ditahan anggota Balai Polis Endau yang melakukan rondaan cegah jenayah di jalan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu beg pinggang pada lelaki itu dan pemeriksaan lanjut terhadap beg tersebut menemui 16.21 gram dadah disyaki jenis heroin, 27.70 gram dadah jenis syabu dan 22 biji pil Eramin 5.

“Polis turut menemui sejumlah wang tunai bercampur-campur berjumlah RM2,135 yang dipercayai hasil jualan dadah,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua dadah berkenaan mampu dibekalkan kepada lebih 90 orang penagih di sekitar Endau dan Rompin.

Menurut Cyril saringan ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis opiat selain mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung.

Sementara itu, Cyril berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing menahan 467 individu atas pelbagai kesalahan dadah di daerah tersebut, sepanjang tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah itu, 82 individu merupakan pengedar dadah manakala tiga lagi ditahan mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) (ADB) 1985.

“Sebanyak 8,849.88 gram dadah pelbagai jenis turut dirampas sepanjang tahun lepas,” katanya.- Bernama