Yayasan Raja Zarith Sofiah terima sumbangan RM1 juta

Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah - Foto Rotal Press Office (RPO)
Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah - Foto Rotal Press Office (RPO)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Yayasan Amal Ng Teng Fong (NTFCF) dari Singapura menyampaikan sumbangan bernilai RM1 juta menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bagi membantu Malaysia membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengerusi NTFCF, Robert Ng Chee Siong di atas sumbangan berkenaan.

"Kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada Robert Ng di atas keikhlasan beliau," titah Permaisuri Johor kepada Royal Press Office (RPO) di sini hari ini.

Baginda bertitah, sumbangan berkenaan amat dihargai terutama ketika negara sedang berdepan penularan wabak berkenaan.

Raja Zarith Sofiah bertitah, sebahagian besar sumbangan itu berperanan penting untuk digunakan bagi memperoleh segala keperluan perlindungan bagi petugas perubatan barisan hadapan dan mesin perubatan bagi hospital di seluruh negara.

"Saya akan mendapatkan nasihat serta maklumat daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu dan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abdul Rahim bagi membolehkan sumbangan disampaikan mengikut keperluan," titah baginda.

Sementara itu, Chee Siong berkata, pihaknya gembira dapat menyampaikan sumbangan itu bagi membantu Malaysia memerangi wabak Covid-19.

"Kami turut berdoa untuk kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dalam situasi sebegini," ujar ahli perniagaan terkemuka di Singapura itu.

Artikel Berkaitan:

NTFCF ditubuhkan dalam memperingati seorang ahli perniagaan terkenal di Singapura, Ng Teng Fong yang juga adalah bapa kepada Chee Siong.