X

Kindly register in order to view this article
!

PKP fasa pertama: Sembilan individu di Sabak Bernam ditahan

IPD Sabak Bernam turut memuat naik status di Facebook berhubung operasi yang dijalankan sepanjang tempoh PKP fasa pertama.
A
A

SABAK BERNAM - Polis menahan sembilan individu di sekitar daerah Sabak Bernam atas pelbagai kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, kebanyakan yang ditahan membabitkan kesalahan ingkar arahan dan mencabar tugas pasukan keselamatan ketika sekatan jalan raya.

Menurutnya, sebanyak 4, 687 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya yang dilakukan di sekitar daerah berkenaan.

"Daripada jumlah itu, seramai 2, 251 individu diperiksa sejak 18 Mac lalu hingga semalam," katanya.

Menurut beliau, polis menjalankan pemantauan di semua kawasan di daerah itu selain rondaan di beberapa lokasi termasuk di institusi kewangan, rumah ibadah dan sekolah," katanya.

Agus Salim berkata, selain sekatan jalan, pasukannya turut bekerjasama dengan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bagi memastikan peniaga dan penjaja mematuhi peraturan PKP.

"Sebanyak lapan sitaan dan 32 notis dikeluarkan terhadap premis dan penjaja ingkar sepanjang PKP fasa pertama ini," katanya.

Justeru tegas beliau, masyarakat diharap memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan PKP fasa kedua mulai hari ini yang akan menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) peraturan baharu yang diperketatkan dengan tindakan lebih tegas.

"Urusan pergerakan yang dibenarkan adalah kes-kes kecemasan, Kematian, kesihatan dan pembelian keperluan sahaja," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus