2020 Tahun Koronavirus?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MAKA banyaklah orang berjenaka dalam media sosial tentang apa yang berlaku pada masa ini. Maklumlah dalam keadaan pergerakan dikawal, otak tetap berjalan. Makin kreatif sebenarnya manusia apabila mereka ‘dikurung’.

Memang media sosial tempat melambaknya segala kebusukan, laporan palsu, fitnah dan segala macam karut-marut tapi banyak juga yang bermanfaat.

Terdapat juga macam-macam manusia yang mendakwa mereka boleh mengubat wabak Covid-19. Awang ada tengok video seorang yang mengaku ‘ustaz’ kononnya dapat menarik virus itu daripada tubuh seseorang dan memasukkannya ke dalam botol.

Tapi ada juga cerita yang seronok kita tonton. Macam kisah Mak Cik Kiah. Awang tak tahulah sama ada Mak Cik Kiah benar-benar wujud atau rekaan tapi baguslah Tan Sri Muhyiddin gunakan manusia seperti beliau sebagai contoh.

Orang ramai pun dah mula guna nama ‘Pak Din PM’ untuk Tan Sri PM kita. Anggaplah itu gelaran manja. Macam panggilan untuk Mak Cik Kiah juga. Maka jadi virallah video Pak Din PM pergi ke pasar raya untuk beli barang. Nampaknya tak ada pengawal. Itu contoh social distancing. Tak tahulah dia naik kereta sendiri atau tidak.

Kalau ikut perancangan, tahun 2020 negara kita jadi maju. Itulah wawasan yang dibawakan oleh Tun Mantan Perdana Menteri pada tahun 1990-an dulu. Memang kita tahu sasaran itu tersasar tapi kita tak sangka 2020 jadi Tahun Koronavirus.

Keadaan makin serius

Awang memang rasa dalam seminggu dua ini keadaan akan jadi lebih buruk. Lebih banyak rakyat kita yang akan dijangkiti wabak Covid-19. Macam apa yang berlaku di Simpang Renggam, Sungai Lui dan yang terbaharu di sebuah flat di tengah Kuala Lumpur, ia melibatkan kumpulan orang yang ramai.

Artikel Berkaitan:

Memang ada pakar yang ramalkan hal ini akan berlaku. Kita sepatutnya mengakhiri pusingan pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam. Kita masuk minggu kedua hari ini.

Awang cuma harap semua yang terlibat tunjukkan contoh yang baik. Ada orang komen tentang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau kontraktor mereka yang buat semburan atau pembersihan di satu tempat. Kenapa begitu ramai mereka yang terlibat?

Begitu juga apabila ada operasi tak usahlah menteri kita turun sama. Serahkan sahaja pada pekerja Majlis Bandaraya atau Majlis Daerah. Pantau saja dari jauh. Pada waktu yang sama Awang harap menteri-menteri kita berjaga-jagalah buat kenyataan. Ini baru minggu kedua PKP. Belum tentu lagi hasilnya setelah sebulan. Jadi tak usahlah fikir sama ada nak benarkan bazar Ramadan atau tidak.

Kita selesaikan masalah sekarang. Kita cuba kawal wabak ini. Itu tugas utama kita. Soal isteri perlu bercakap dengan watak Doraemon atau pakai lipstik di rumah bukanlah penting. Yang penting nak tolong ekonomi kaum ibu dan kebajikan anak-anak.

Oleh sebab itu Awang rasa semakin kurang menteri tunjuk bercakap pada masa ini makin baik.