Covid-19: Info grafik di media sosial perlu guna pelbagai bahasa

Dari kiri; Azlan Nabees, Sara dan Mohd Afzanizam pada Wacana Sinar Harian Siri 161 dengan tajuk Siapa Muhyiddin Dalam Krisis Covid-19? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam tadi.
Dari kiri; Azlan Nabees, Sara dan Mohd Afzanizam pada Wacana Sinar Harian Siri 161 dengan tajuk Siapa Muhyiddin Dalam Krisis Covid-19? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Info grafik mengenai perkembangan wabak coronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan yang ditularkan di media sosial dan platfom lain perlu menggunakan pelbagai bahasa.

Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, ini kerana maklumat itu akan lebih mudah difahami oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Kalau info grafik ini dapat dibuat melalui pelbagai bahasa lain ia sudah pasti akan lebih sampai kepada peringkat akar umbi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

"Keduanya, sudah tentunya kita menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Majlis Keselamatan Negara dan sebagainya. Kalau boleh SMS itu juga perlu dihantar melalui pelbagai bahasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Siri 161 dengan tajuk Siapa Muhyiddin Dalam Krisis Covid-19? disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam tadi.

Wacana Sinar Harian itu turut menampilkan Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid serta moderator Azlan Nabees Khan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyampaian maklumat yang mudah difahami adalah penting dalam kalangan rakyat yang kini juga berdepan dengan pelbagai maklumat palsu di pelbagai platform.

Beliau mengakui kekeliruan penyampaian maklumat berlaku pada peringkat awal pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan mahu dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita lihat pada hari pertama, kedua dan ketiga itu berlaku sedikit kekeliruan dari segi maklumat mengenai perhimpunan, acara kebudayaan, agama dan sebagainya termasuk mengenai pergerakan pelajar," katanya.

Bagaimanapun katanya, kebijaksanaan Perdana Menteri berjaya mengatasi masalah itu termasuk menteri dan pengarah di kementerian terlibat menerusi sidang media yang diadakan dari semasa ke semasa.

"Kini banyak maklumat boleh dilayari termasuk pemberitahuan mengenai berita palsu ditularkan selain saranan meminta rakyat berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat di laman sosial," katanya.

Beliau menyifatkan mekanisme penyampaian maklumat itu bertambah baik ketika rakyat perlu melalui Perintah Kawalan Pergerakan bagi tempoh dua minggu lagi iaitu bermula 1 hingga 14 April ini.

"Saya melihat sekarang ini koordinasi itu sudah pun wujud dan kita lihat mekanisme penyampaian maklumat semakin teratur apabila kita bangkit pagi kita sudah ada senarai menyatakan siapa akan berucap.

"Kita akan mendapat tahu siapa akan membuat sidang akhbar berkenaan (di laman sosial). Jadi daripada situ kita sudah tahu cara koordinasi mereka menyampaikan maklumat adalah berkesan waktu ini," katanya.

Katanya, itu adalah satu pengorbanan dan komitmen terlalu besar daripada Perdana Menteri kerana ia membabitkan bukan sahaja koordinasi agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara tetapi badan beruniform.

"Polis dan Angkatan Tentera Malaysia turut mengawal di jalan raya dan frontliners seperti jururawat, doktor dan pihak-pihak lain yang memainkan peranan penting dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19," katanya.