PKP bentuk sahsiah lebih positif

Pekerja swasta, Sharaaz Zainuddin mengambil kesempatan melakukan senaman kecergasan di rumahnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. - Foto Bernama
Pekerja swasta, Sharaaz Zainuddin mengambil kesempatan melakukan senaman kecergasan di rumahnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

FASA pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir semalam dan hari ini bermula pula episod kedua PKP untuk tempoh dua minggu lagi. Bersediakah rakyat Malaysia atau mereka masih belum bangkit daripada realiti dua minggu lalu?

Berbalik kepada fasa pertama PKP, tahap kepatuhan rakyat Malaysia dilaporkan mencapai 97 peratus, jadi apa jangkaan untuk fasa kedua ini? Apakah ia akan lebih cemerlang dan mampu menginjak sehingga 100 peratus bagi terus mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19)?

Melihat semula tempoh PKP dua minggu lalu, pelbagai berita dilaporkan tentang bagaimana rakyat Malaysia cuba mengadaptasikan keadaan baharu dengan menjadikan rumah sebagai ‘pangkalan operasi’ bukan sahaja untuk beristirahat malah bekerja, bermain, memasak dan berkebun.

Dalam sekelip mata rumah yang selama ini didiami untuk berehat berubah menjadi begitu sibuk kerana di situlah letaknya pejabat, taman permainan, sekolah, pusat asuhan, masjid, taman rekreasi, kedai gunting rambut, perpustakaan, kebun sayur mini dan pelbagai lagi.

Lebih mengujakan apabila ramai ibu bapa begitu kreatif melakukan aktiviti bersama keluarga khususnya anak-anak sehingga ada yang bermain ting ting, berkhemah, bercucuk tanam, bersenam malah memancing di dalam rumah.

Ada juga yang beraksi nakal bagi meredakan ketegangan akibat berkurung di rumah dengan memakai baju kelawar isteri sambil melakukan kerja rumah. Selain itu, ada ibu atau bapa yang terkejut dengan bakat dimiliki apabila mereka tiba-tiba pandai menggunting rambut anak, mengajar anak melukis serta memasak sehingga tiga kali sehari.

Kritikal

Ada juga yang menjadi pakar ‘Tik Tok’ apabila menghasilkan video bagi mengajak orang ramai agar kekal sihat, cantik dan bertenaga di rumah sepanjang PKP.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh kritikal itu juga, ada ibu bapa yang menghadapi kesukaran kerana perlu bekerja dari rumah dan dalam masa yang sama terpaksa melayani karenah anak-anak. Namun kepayahan menyesuaikan diri pada awal PKP untuk membahagikan masa antara kerja dengan anak, berjaya juga diharungi.

Mungkin pada peringkat awal hanya teriakan memarahi anak-anak boleh didengar kerana mengganggu kerja ibu atau bapa tapi selepas sehari dua, gelak tawa sahaja yang kedengaran. Ini kerana mereka tidak lagi tertekan sebaliknya sudah berjaya menguruskan hal rumah tangga dan kerjaya.

Penulis yakin, ibu bapa boleh berbangga dengan pencapaian itu. Sedar atau tidak, PKP ini sebenarnya bukan setakat berjaya mengekang penularan Covid-19 daripada terus tersebar pantas tetapi secara tersiratnya memberi ruang untuk seseorang lebih mengenal diri, mencari potensi diri dan melatih diri untuk lebih bijak menguruskan masa.

Seperti kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan apa pun cabaran dan dugaan yang dihadapi, tidak sesekali melemahkan semangat kita untuk meneruskan kehidupan. Beliau juga menekankan, apabila keadaan menjadi sukar, hanya yang tabah akan dapat mengharunginya.

Benar sekali ungkapan itu. Malah, jika rakyat Malaysia kekal berdisiplin dengan duduk di rumah untuk tempoh 14 hari lagi, jangan terkejut dengan keputusan akhir yang kita akan peroleh nanti.

Bukan sahaja PKP tidak perlu dilanjutkan dan rantaian penyebaran Covid-19 diputuskan, malah pembentukan sahsiah diri rakyat Malaysia yang akan terhasil. Benar, ramai yang berasa terkurung dek PKP tetapi sebenarnya ia hanya tempoh untuk mengunci sikap negatif diri kita agar membebaskan sikap-sikap positif.

Jadi manfaatkanlah tempoh 14 hari akan datang sebaiknya dengan terus kekal di rumah serta menjaga antara satu sama lain.

Bagi yang masih berdegil, kurangkan ego dalam diri dan jangan pentingkan diri. Ingat, #kitajagakita... Pastikan kita tunaikan tanggungjawab agar para petugas frontliners dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih mudah dan cepat.

Mereka juga ada keluarga seperti kita. Syukuri apa yang kita ada.

* Hasniza Hussain ialah wartawan Sinar Harian