Apabila masa terhenti

A
A
A

HARI ini kita memasuki tahap kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Alhamdulilah, fasa pertama dari 18 Mac hingga 31 Mac telah banyak menyedarkan 97 peratus rakyat Malaysia untuk bekerjasama mematuhinya. Mudah-mudahan fasa kedua dari 1 April hingga 14 April terus dipatuhi.

Sebenarnya PKP ini tidak pernah dirasai oleh mereka yang lahir selepas 1969. Pada tahun itu, yang dikuatkuasakan bukannya PKP, tetapi perintah berkurung 24 jam dikenakan di beberapa kawasan di Semenanjung.

Begitu juga pada zaman darurat pada 1948-1960, berlaku juga perintah berkurung di mana rakyat tidak dibenarkan sama sekali untuk keluar rumah. Jika perintah berkurung pada ketika itu adalah angkara manusia, PKP pada hari ini adalah angkara virus.

Sama ada perintah berkurung mahupun PKP, pergerakan kita memang terbatas dan terhad. Ada sesuatu yang menarik apabila pergerakan terhad ini dilaksanakan. Ia merapatkan anggota keluarga apabila komunikasi sesama keluarga ditingkatkan.

Namun sedarkah kita, selain daripada PKP sekarang, terdapat suasana ‘kawalan pergerakan’ dalam situasi yang lain? Dan ‘kawalan pergerakan’ itu juga menghasilkan sesuatu yang baik. Kawalan pergerakan pada musim perayaan adalah satu situasi yang biasa kita alami.

Kita bercuti seminggu, balik kampung dan berhari raya. Kita hadkan hal-hal lain. Kita tidak merayau sendiri-sendiri, bahkan dengan keluarga secara berbondong-bondong. Dengan ‘PKP’ ini, kita bertemu saudara, kawan sekampung dan sahabat lama untuk mengeratkan silaturahim.

Situasi bila mana kita menunaikan ibadah haji mahupun umrah adalah satu lagi keadaan di mana kita mengawal pergerakan. Di Makkah dan Madinah, kita hanya makan, tidur dan beribadah semata-mata. Kita hadkan pergerakan. Malah kita hanya bertanya khabar berita dari tanah air sekadar seketika.

Kita tidak ambil kisah hal dunia luar melainkan mengawal pergerakan. ‘PKP’ ini adalah semata-mata untuk ibadah.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi suasana di mana kita terpaksa mengawal pergerakan adalah ketika kita terbaring kerana sakit yang panjang. Penyakit yang mengambil masa untuk sembuh seperti demam, cedera kemalangan mahupun apabila menghidap penyakit kronik akan menyebabkan kita terpaksa mengawal pergerakan.

Cuma dalam situasi sebegini, orang lain seperti saudara atau jururawat pula yang datang membantu menguruskan diri kita. ‘PKP’ ini adalah untuk diri sendiri.

Betapa pun, situasi di mana kita terpaksa mengawal pergerakan sama ada untuk membanteras Covid-19, bercuti raya, beribadah di tanah suci ataupun kerana sakit, persamaan untuk kesemuanya ialah bagaimana masa berhenti, walaupun hakikatnya siang dan malam masih silih berganti.

Tetapi apabila sebahagian besar aktiviti harian rakyat Malaysia terhenti dengan penutupan pelbagai industri pengeluaran dan perkhidmatan, tidak boleh tidak, kita semua seolah-olah telah dikeluarkan daripada garisan perlumbaan hidup.

PKP ini merehatkan kita daripada kesibukan dan mengembalikan kita kepada asas kehidupan iaitu berehat untuk beribadah, makan dan tidur.

Oleh kerana kita telah dialihkan daripada kesibukan keduniaan harian dan berdepan dengan suatu suasana yang lebih santai, kita kenalah melihat PKP ini sebagai satu peluang untuk kita menyudahkan apa yang tertinggal.

Selain daripada work from home yang hampir pasti hanya membereskan 50 peratus daripada apa yang kita biasa buat di pejabat, kita ada banyak peranan yang tertinggal sebagai isteri, suami mahupun anak.

Dan yang lebih penting kini ialah betapa masa yang terhenti ini digunakan untuk bermuhasabah dan merancang untuk pasca Covid-19.

Apabila PKP ditamatkan, kita seolah-olah berada di garisan perlumbaan kembali. Percayalah, segala-galanya akan berubah.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian